Mengapa UMNO-PAS terus fitnah DAP?




Kepimpinan UMNO dan PAS boleh membentuk kerjasama semahunya. Tiada siapa yang berasa cemburu.
Seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad: “Kalau dia (UMNO dan PAS) nak bersatu, bersatu lah. Dia nak kahwin, kahwin lah. Negara kita ni bebas.”
Pun begitu, pemimpin UMNO dan PAS perlu bersikap gentleman dalam memikat akal budi masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini menerusi kerjasamanya itu dan tidak hanya bergantung kepada sentimen perkauman dan keagamaan semata-mata untuk meraih undi.
Sikap tidak gentleman pemimpin UMNO dan PAS ini dapat dilihat di beberapa ceramah pada pilihan raya kecil di Semenyih yang lalu.
Pemimpin UMNO dan PAS mengulang-ulang dakwaan basi yang telah dibuktikan tidak benar, bahawa kononnya DAP menguasai kerajaan Pakatan Harapan semata-mata untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu.
Dakwaan sama pernah dilontarkan pemimpin UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14, bahawa kononnya Lim Kit Siang akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pilihan raya tersebut.
Namun, setelah Pakatan Harapan membentuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya, Kit Siang tidak dilantik menjadi Perdana Menteri apatah lagi menganggotai Kabinet. Justeru, dakwaan itu ternyata suatu pembohongan dan fitnah semata-mata.
Malah, pemimpin UMNO dan PAS sering kali memfitnah DAP sebagai komunis. Sedangkan tidak pernah ada sebutir bukti pun tentang dakwaan itu. Fitnah seumpama itu diulang-ulang oleh pemimpin UMNO dan PAS dengan tujuan untuk menjadikan pembohongan serta fitnah itu sebagai suatu kebenaran di mata penyokong mereka.
Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki menuduh bahawa Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming adalah anak buah Chin Peng. Pemimpin UMNO itu bagaimanapun memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan tersebut.
Permohonan maaf oleh Asyraf Wajdi itu membuktikan bahawa segala cubaan pemimpin UMNO dan PAS untuk mengaitkan DAP dengan komunis serta agenda anti Melayu dan Islam adalah pembohongan dan fitnah semata-mata.
DAP adalah parti yang menjunjung tinggi Perlembangaan Persekutuan. DAP juga menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu. Malah, DAP juga menghormati kesucian agama Islam serta hak keistimewaan Bumiputera.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui seorang Ketua Menteri dari parti DAP tidak henti-henti menyalurkan pelbagai peruntukan bagi mempertingkatkan syiar Islam. Ini adalah bukti bahawa DAP menghormati kesucian agama Islam.
Sudah tiba masanya untuk UMNO dan PAS menghentikan segala tuduhan basi serta fitnah terhadap DAP dan memikir suatu dasar yang dapat memanfaatkan semua kaum dan agama di negara ini.