Ada sesuatu yang pelik dalam sidang Parlimen kali ini yang bermula esok, 11 Mac hingga 11 April 2019.
Ini berikutan persoalan tentang peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim adalah antara soalan yang turut dikemukakan dalam sidang kali ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim akan mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri berhubung apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan proses peralihan kuasa sebagaimana yang terkandung dalam manifesto dapat dilaksanakan dengan lancar dan tertib.
Soalan itu dijadual untuk dijawab dalam aturan mesyuarat pada 4 April depan.
Sekiranya sempat dikemukakan dalam sessi soal jawab selama satu jam setengah yang ditetapkan, Tun Mahathir akan menjawabnya secara langsung, selain Hasan sendiri dan Ahli Parlimen lain akan berpeluang mengemuakan soalan tambahan atas isu yang sama.
Namun, sekiranya kekangan masa, soalan berkaitan peralihan kuasa itu akan akan dijawab secara bertulis oleh Perdana Menteri.
“Saya inginkan peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar dan tertib. Sebab itu kita mahu Perdana Menteri sendiri menjawab di Parlimen, bukan di pentas ceramah atau majlis-majlis lain.
“Cakap di Parlimen tidak boleh bohong atau politiking sebab Parlimen adalah platform untuk membuat undang-undang.
“Itu tujuan saya, tidak ada niat apa-apa, sebab semua orang sudah tahu sebelum pilihanraya lagi sudah ada perjanjian berhubung peralihan kuasa itu,” jelas Hasan yang juga Pengerusi PKR Negeri Johor.
Kenapakah sampai begini sekali yang berlaku? Tidakkah macam pelik je?
Soal peralihan kuasa Perdana Menteri sebenarnya adalah persoalan politik PH dan tidak berkaitan dengan kerajaan. Lantaran itu ia sebetulnya tidak harus dibawa sampai ke Parlimen.
Majlis Presiden PH saja sudah memadai untuk memutus dan memuktamadkannya. Kemudian, setelah peralihan kuasa dilaksanakan, pentadbiran kerajaan boleh terus berjalan seperti biasa.
Tetapi, mengapa sehingga perlu dibawa ke dalam Parlimen?
Sebabnya tidak lain ialah kerana Tun Mahathir tidak pernah bertegas dan tidak memutuskan tarikh yang tepat berkenaan peralihan kuasa itu.
Meskipun tempoh dua tahun itu beliau sendiri yang menyebutnya bersandarkan usianya yang sudah mencecah 93 tahun ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, namun kemudiannya Tun Mahathir selalu berkata tempohnya memegang jawatan itu , “mungkin dua tahun, mungkin lebih dan mungkin juga kurang”.
Di ketika yang lain, beliau juga pernah berkata, “kalau Anwar beri izin, dapatlah saya jadi Perdana Menteri selama dua tahun setengah”.
Kenapa begitu?
Kenapa tidak boleh Tun Mahathir menetapkan tarikh yang tepat berhubung peralihan kuasa itu?
Jika pada 2004 dulu beliau boleh menetapkan tarikh yang tepat dalam penyerahan kuasanya kepada Tun Abdullah Badawi, mengapa tidak kali ini kepada Anwar?
Kalau itu dapat dilakukannya, lagi pun ini sudah kali kedua beliau menduduki kerusi Perdana Menteri, tidak perlulah sampai soalan berkaitan peralihan kuasa itu ditanyakan oleh Hasan sehingga ke dalam Parlimen.
Sukarkah untuk Tun Mahathir berbuat demikian?
(Shahbudindotcom.net 10/03/2019)