‘Saya ingin Port Dickson jadi destinasi pelancongan antarabangsa’
Calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mendedahkan beliau memilih untuk bertanding di Port Dickson memandangkan beliau melihat potensi besar bandar pantai itu dan mahu bawa pembangunan.
Presiden PKR itu berkata beliau mahu meningkatkan industri pelancongan Port Dickson, terutama di Asia Tenggara.
“Saya pilih Port Dickson kerana mahu bawa pembangunan ke Port Dickson. Saya ingin jadikan Port Dickson destinasi pelancongan di rantau ini.
“Saya mahu pastikan Port Dickson muncul sebagai destinasi pelancongan yang penting di rantau ini,” kata Anwar dalam ceramah malam ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu bertanding menentang enam calon – bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad, veteran angkatan udara Mohd Nazari Mokhtar dari PAS, bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, dan tiga lagi calon bebas dalam pertandingan tujuh penjuru di Port Dickson.
Tambahnya, beliau tersentuh oleh sokongan pengundi Port Dickson dan menegaskan beliau membuat pilihan yang tepat ketika memilih kerusi itu.
“Saya gembira dan saya percaya ini adalah keputusan yang tepat untuk memilih Port Dickson. Saya gembira dan bangga mengatakan saya telah pilih Port Dickson.
“Kita mempunyai pemimpin yang menyokong saya. Termasuk perdana menteri,” katanya merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri ceramah di Port Dickson pada hari Selasa lalu.
“Persahabatan dan kasih sayang yang ditunjukkan rakyat di sini adalah baik. Satu-satunya janji saya kepada orang di Port Dickson ialah saya akan memberikan yang terbaik kepada Port Dickson, “kata Anwar.
Komposisi pengundi di Port Dickson terdiri daripada 43% orang Melayu, 33% orang Cina, 22% kaum India dan 2% lain-lain etnik.
Dalam PRU14, calon PKR Danyal Balagopal Abdullah memenangi 36,225 undi, mengalahkan calon BN dan PAS yang menerima 18,515 undi dan 6,594 undi.
Pilihan raya itu diadakan apabila Danyal meletak jawatan untuk membenarkan Anwar bertanding bagi membolehkan beliau kembali ke parlimen