Jangan layan sangat Pas – Anwar
Calon Pakatan Harapan di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan melayan kritikan PAS terhadap kunjungannya ke rumah ibadat agama lain.
Berucap di Dewan Kuil Dewi Sri Maha Mariamman Bukit Palong, Lukut, Port Dickson semalam, Anwar berkata beliau akan meneruskan tindakan itu kerana menghormati tradisi dan kebudayaan agama lain.
“Walaupun saya tahu PAS serang kita kuat dalam isu ini, tapi kita tak payah layan mereka. Kerana mereka perlu tahu ini Malaysia. Semua orang penting,” katanya.
“Di Malaysia, Islam agama persekutuan. Orang Melayu penting, orang India penting, orang Cina pun penting. Sabah dan Sarawak juga. Kalau tidak, tak jadi Malaysia,” tambahnya.
Menurutnya, rakyat Malaysia perlu memahami dan menghormati semua agama sekiranya ingin hidup secara aman.
“Semua rakyat mesti dapat perhatian dan sokongan dan ini saya akan teruskan apa yang Pakatan Harapan berjanji,” jelasnya diiringi dengan tepukan gemuruh lebih 300 hadirin yang berketurunan bangsa India.
Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, exco Selangor V Ganabathy Rao dan Exco Negeri Sembilan J Arul Kumar serta bekas bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim.
Beberapa wakil rakyat turut hadir, termasuk Fahmi Fadzil, Ram Karpal Singh, P Gunasekaren, Satesh Muniandy.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilapor membangkitkan penglibatan Anwar dalam pelbagai acara yang dikaitkan dengan agama lain.
Hadi menggambarkan Anwar sebagai pemimpin yang tidak konsisten.
“Contohnya, di tempat seperti masjid, dia jadi imam. Tempat Sikh, dia pakai ikut cara mereka. Di tempat orang India pula, dia menari cara mereka,” kata presiden PAS.
Anwar bagaimanapun menegaskan beliau ke kuil bukan untuk bersembahyang tetapi menghadiri majlis kebudayaan di perkarangan kuil.
Terdahulu, pihak pengurusan turut menyerahkan satu memorandum kepada Anwar berkenaan isu tanah kuil tersebut.
Setiausaha pihak pengurusan kuil, M Kannan berkata kuil tersebut berada di tapak sekarang sejak tahun 1924.
“Lebih 20 tahun kami berusaha untuk mendapatkan tanah lebih satu ekar yang berada di sebelah kuil ini. Namun, kerajaan terdahulu (BN) tidak mengendahkan permohonan kami,” dakwanya kepada Malaysiakini.
“Kami harap Datuk Seri Anwar yang akan dinobatkan sebagai anggota parlimen pada 13 Oktober ini, akan menyelesaikan masalah tanah kami,” tambah beliau sambil menyatakan penduduk India di sekitar Lukut akan menyokong penuh Anwar.