Masa Isa sebagai ahli politik telah tamat – Rais Yatim
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Rais Yatim menasihati calon pilihan raya kecil Port Dickson Isa Samad agar kembali kepada realiti kerana masanya sebagai ahli politik sudah tamat.
Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu berkata, berbeza seperti calon Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, Isa tidak akan mampu membawa perubahan kepada Port Dickson.
“Kamu sudah berkuasa selama 22 tahun, kenapa tidak laksanakan apa yang kamu janjikan, 22 tahun tempoh yang lama sebagai menteri besar, saya hanya menjadi menteri besar selama sepenggal.
“Beliau sepatutnya memenuhi kehendak rakyat selama 22 tahun itu, bagi pendapat saya, Isa telah gagal dengan apa yang kami mahu laksanakan pada masa hadapan,” katanya, kepada pemberita, dalam ceramah kempen Anwar, di Port Dickson, malam tadi.
Rais, yang juga bekas penasihat sosiabudaya kerajaan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) menjadi menteri besar Negeri Sembilan pada 1978 hingga 1982.
Katanya, sentimen semata-mata tidak mampu mengembalikan zaman kegemilangan Isa.
“Politik adalah mengenai realiti, sentimen sahaja tidak akan mengembalikan zaman kegemilangan, berapa banyak sokongan daripada veteran kita tak tahu, sentimen tidak boleh bawa kita ke mana-mana,” kata Rais.
Rais berkata, ahli Parlimen Port Dickson yang baru seharusnya seseorang yang mempunyai kuasa, yang mampu meningkatkan imej Bandar Tentera Darat itu.
“Perlu saya katakan kepada Isa, masanya telah tiba dan beliau harus serahkan kepada orang lain untuk melaksanakan apa yang beliau gagal lunaskan suatu ketika dahulu,” kata Rais lagi.
“Apa yang perlu kita sedar sekarang adalah sama ada kita boleh bergantung harap kepada Anwar? Jawapannya ya,” kata Rais lagi.
Isa yang bertanding atas tiket bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson menjadi menteri besar Negeri Sembilan menggantikan Rais bermula 1982 hingga 2004.
Beliau dilihat menjadi pencabar utama kepada Anwar dalam pertandingan tujuh penjuru merebut kerusi yang dilepaskan penyandang, Danyal Balagopal Abdullah dari PH.
Isa juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Bagan Pinang dan Linggi, yang merupakan antara lima DUN di bawah Parlimen Port Dickson.
Beliau juga dilihat mempunyai sokongan di dua kawasan tersebut, terutamanya pengundi berusia 45 tahun ke atas.
Keputusan Umno memboikot PRK Port Dickson menyebabkan Isa mengambil keputusan keluar Umno dan bertanding atas tiket bebas.
Lima calon lain termasuklah dari PAS, Mohd Nazari Mokhtar, yang merupakan veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel dan Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu terkait kes liwat Anwar, yang bertanding tiket bebas.
Calon bebas lain adalah Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen