SEREMBAN: Hasrat Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penghujung November ini menimbulkan persoalan apabila kerajaan negeri sebelum ini sudah menghantar surat rasmi memaklumkan pengiktirafan Yang di-Pertuan Besar baharu.
Pemerhati politik dan undang-undang, Liyana Marzuki, mempersoalkan bagaimana Ismail mahu mendapatkan perkenan DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sedangkan kerajaan negeri pimpinannya sendiri sebelum ini mengambil pendirian mengiktiraf pengganti baginda.
Menurut Liyana, Ismail dilaporkan tidak mahu membiarkan DUN terbubar secara automatik selepas enam bulan tanpa persidangan dan merancang mengadakan sidang pada penghujung November.
Namun persoalannya, siapakah yang akan memberikan perkenan untuk persidangan itu apabila kedudukan Yang di-Pertuan Besar sendiri masih menjadi pertikaian?
Liyana turut mendedahkan surat rasmi kerajaan negeri kepada Majlis Raja-Raja yang menyatakan mesyuarat EXCO pada 15 September 2026 telah membuat keputusan kolektif menghormati ketetapan Undang Yang Empat.
Surat berkenaan memaklumkan bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta dan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar dipilih serta diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang baharu.
Malah, surat itu turut menyenaraikan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz, pemilihan Tuanku Nadzaruddin dan proklamasi Menteri Besar sebagai dokumen yang dikemukakan untuk perhatian Majlis Raja-Raja.
Bagaimanapun, Liyana mendakwa Majlis Raja-Raja tidak memberikan pengiktirafan terhadap tindakan tersebut, manakala Jabatan Peguam Negara berpandangan dokumen berkaitan tidak berperlembagaan.
Kini, apabila Ismail dilaporkan mahu menghadap Tuanku Muhriz bagi mendapatkan perkenan sidang DUN, Liyana menyifatkan perkembangan itu sebagai perubahan pendirian yang menimbulkan persoalan terhadap keputusan kerajaan negeri sebelum ini.
“Janggal untuk Yamtuan bagi perkenan, kalau yang minta perkenan pun tak iktiraf dia Raja di N9,” tulisnya di Facebook.
Kemelut ini turut menimbulkan persoalan mengenai risiko pembubaran DUN sekiranya persidangan gagal diadakan dalam tempoh yang ditetapkan. Bagaimanapun, sama ada pembubaran automatik benar-benar boleh berlaku masih bergantung pada tafsiran perlembagaan negeri dan kedudukan persidangan terakhir.
Liyana mengingatkan Umno Negeri Sembilan supaya memahami realiti politik apabila berdepan institusi diraja. “Enggang tu terbang di kayangan. Kita yang pipit ni kalau dah salah masuk laluan, jangan la kuat sangat melawan,” katanya.
#NegeriSembilan #TuankuMuhriz #SidangDUN

No comments:
Post a Comment