Meta Akui Kesilapan Teknikal Punca Akaun WhatsApp Pengguna Sah Digantung – MCMC

 

Untitled design

Meta mengakui kesilapan teknikal pada sistemnya menyebabkan aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan sehingga akaun mereka digantung. Foto MCMC

CYBERJAYA, 3 Okt – Gergasi penyedia platform dalam talian, Meta mengakui kesilapan teknikal pada sistemnya menyebabkan aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan sehingga akaun mereka digantung.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, kesilapan itu dikenal pasti dalam lebih separuh kes bagi kumpulan pertama yang dikemukakannya kepada Meta untuk semakan.

“Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga aktiviti pengguna yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan media MCMC yang dikeluarkan pada 3 Oktober 2026. Foto MCMC

MCMC sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang meneliti aduan isu penggodaman dan penyahaktifan akaun WhatsApp.

Suruhanjaya itu turut memohon penjelasan Meta.

Mengulas lanjut, MCMC berkata, Meta turut memaklumkan masalah teknikal berkenaan telah ditangani pada penghujung September, manakala akaun sah yang terjejas dipulihkan secara proaktif.

Katanya, pemulihan itu turut membabitkan sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan kepada WhatsApp.

MCMC berkata, akaun yang diambil alih pihak tidak bertanggungjawab boleh disalahgunakan untuk tujuan penipuan, spam atau aktiviti yang melanggar syarat WhatsApp.

“Meta turut mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau terma perkhidmatan WhatsApp,” katanya.

Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan bukan semua penggantungan akaun berpunca daripada kesilapan teknikal.

Antara faktor lain ialah nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp.

Bagi akaun perniagaan, MCMC berkata, Meta memaklumkan penghantaran mesej tanpa persetujuan atau dalam jumlah yang tinggi, khususnya kepada penerima yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung isu WhatsApp dialami pengguna Malaysia pada 25 September 2026. Foto MCMC/Meta

“Pengguna perniagaan disaran mendapatkan persetujuan penerima sebelum menghantar mesej secara pukal,” katanya.

MCMC berkata, pihaknya meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan akaun supaya pengguna menerima pengesahan, status semakan serta maklumat tindakan dengan lebih jelas dan pantas.

“Pengguna terjejas turut disaran menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp bagi mendapatkan semula akses kepada akaun mereka.




No comments: