ISLAM ITU CARA HIDUP. PARTI POLITIK ITU BUKAN AGAMA. JANGAN CAMPUR ADUK.







“Saya Islam. Saya Melayu. Saya yakini Islam dan politik tidak boleh dipisahkan kerana politik Islam must be a lifestyle untuk menjadi Muslim yang total.” Baik.


Setakat mengatakan Islam ialah cara hidup, tiada masalah. Memang Islam bukan sekadar ibadah ritual. Islam menyentuh akhlak, ekonomi, keluarga, pendidikan, keadilan, amanah dan urusan masyarakat. Tetapi di sinilah akal perlu digunakan.


Islam itu prinsip. Parti itu pilihan. Jangan sampai pilihan parti dianggap sebagai sebahagian daripada akidah.


Islam bukan milik PAS. PAS juga bukan wakil tunggal Islam. Dan pemimpin yang bercakap atas nama Islam tetap manusia boleh benar, boleh salah, dan wajib dinilai.


Jangan sampai kerana mahu “Muslim yang total”, akhirnya akal pula dibuat separuh. Islam mengajar kita berlaku adil, amanah, tabayyun, menjaga maruah manusia dan menolak fitnah.


Jadi kalau semua itu prinsip Islam, mengapa apabila masuk politik, ukuran tiba-tiba bertukar?


Kawan buat salah “Tunggu bukti.” Lawan buat salah

“Nampak? Memang mereka jahat!”. Kawan berpeluk dengan orang yang dahulu dimusuhi “Strategi politik.”

Lawan bekerjasama dengan pihak lain “Pengkhianatan!”


Kawan berubah pendirian “Hikmah dan maslahah.”

Lawan berubah pendirian “Tak ada prinsip!”

Hebat juga fiqh politik ini. Hukum boleh berubah mengikut warna bendera.


Kemudian keluar pula istilah “Saya menolak menjadi BARUA HARBI jika menyokong PH-DAP.” Berhenti sekejap. Di mana dalil yang menjadikan setiap orang yang menyokong PH atau bekerjasama dengan DAP sebagai “barua harbi”?


Ini bukan lagi sekadar politik. Ini sudah menjadi permainan label yang cuba mengubah lawan politik menjadi musuh agama.


Dalam Islam, tuduhan bukan boleh dilempar sesuka hati hanya kerana kita tidak suka seseorang atau partinya.

Allah mengingatkan “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah...” al-Hujurat 49:6

Maka tabayyun dahulu.


Jangan nampak logo DAP terus nampak “harbi”. Itu bukan tabayyun. Itu tabayyun versi pintas nampak logo terus hukum. Lebih lucu apabila istilah harbi yang mempunyai konteks fiqh dan sejarah tertentu digunakan seperti pelekat politik untuk rakyat Malaysia.


Malaysia ini negara berperlembagaan. Rakyat hidup bersama sebagai warganegara. Ada Muslim, Buddha, Hindu, Kristian dan penganut agama lain.

Ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan pelbagai kelompok.


Maka jangan ambil istilah fiqh daripada konteks peperangan klasik lalu dicampakkan sesuka hati kepada lawan politik dalam negara sendiri. Takut nanti fiqh siyasah berubah menjadi fiqh “siapa yang aku tak suka”.


Dan satu lagi. Kalau seseorang Muslim menyokong PH kerana percaya kepada dasar yang dianggap lebih baik, adakah automatik dia keluar daripada Islam?


Kalau seseorang Muslim menyokong PAS, adakah automatik dia menjadi lebih soleh daripada Muslim yang memilih parti lain? Tidak.


Pilihan raya bukan pertandingan menentukan siapa paling dekat dengan syurga. Ia adalah proses memilih siapa yang kita percaya mampu mentadbir negara dengan amanah, adil, kompeten dan bertanggungjawab.


Kalau mahu membawa Islam dalam politik, bawalah akhlak Islam sekali. Jangan hanya bawa takbir. Bawa keadilan. Jangan hanya bawa slogan perpaduan ummah.Bawa adab ketika berbeza pendapat.


Jangan hanya bercakap tentang dosa dan pahala.

Tunjukkan amanah apabila memegang kuasa. Jangan hanya mendakwa “politik adalah sebahagian daripada Islam”.


Tunjukkan politik yang benar-benar berakhlak dengan Islam. Sebab Islam tidak pernah mengajar “Kalau dia lawan politik aku, dia lawan Islam.” Itu bukan Islam.

Itu partisanisme yang sedang memakai kopiah.


Jangan sampai “Muslim yang total” akhirnya bermaksud: agama aku benar, parti aku benar, pemimpin aku benar — maka apa sahaja yang keluar daripada mulut mereka pun mesti benar. Itu bukan kesempurnaan beragama. Itu sudah menghampiri kesempurnaan taasub.


Muslim yang total bukan Muslim yang menyerahkan akalnya kepada parti. Muslim yang total ialah Muslim yang berani berkata “Kalau parti aku salah, aku kata salah.” “Kalau pemimpin aku zalim, aku tegur.” “Kalau lawan aku benar, aku akui.” “Kalau berita itu belum sahih, aku tidak sebarkan.” Itulah baru kesedaran Islam yang mempunyai ilmu.


Kerana akhirnya...

Islam tidak perlukan kita mengislamkan parti. Sebaliknya, parti politiklah yang mesti sentiasa diukur dengan nilai Islam.


Dan kalau benar mahu menjadi Muslim yang “total”...

jangan cuma total dalam menyokong parti. Total juga dalam berlaku adil. Dan paling penting jangan sampai Allahu Akbar di mulut, tetapi “parti aku akbar” di kepala. 


IBNU ALI





No comments: