Jamzuri Ardani.
Selepas memilih untuk memboikot Persidangan Khas Dewan Rakyat yang membahaskan Laporan RCI Tabung Haji, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, kemudiannya tampil melalui media sosial mempersoalkan mengapa laporan RCI tersebut mengambil masa begitu lama untuk didedahkan kepada umum.
Namun persoalan yang sama juga wajar dijawab oleh Idris sendiri.
Laporan RCI Tabung Haji telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022, ketika Idris masih menjadi Menteri Agama dan Datuk Ahmad Marzuk Shaary, juga daripada PAS, masih menjadi Timbalan Menteri Agama.
Parlimen hanya dibubarkan pada 10 Oktober 2022, bermakna kerajaan ketika itu masih mempunyai 41 hari selepas laporan tersebut siap sebelum pembubaran Parlimen.
Justeru, persoalannya ialah: dalam tempoh 41 hari tersebut, adakah Idris Ahmad atau Ahmad Marzuk pernah mendesak supaya laporan RCI Tabung Haji dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada rakyat?
Adakah mereka pernah meminta laporan itu dibawa untuk perbahasan terbuka atau menjelaskan kepada umum mengenai dapatan yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong?
Sudah tentu keputusan untuk mendedahkan sesuatu laporan RCI bukan berada dalam kuasa Menteri Agama seorang diri.
Namun sebagai Menteri dan Timbalan Menteri yang menjaga portfolio agama ketika laporan itu siap, mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan apakah pendirian dan tindakan mereka pada waktu tersebut.
Kritik terhadap kelewatan kerajaan selepasnya tidak seharusnya dibuat seolah-olah laporan itu hanya wujud selepas pertukaran kerajaan pada penghujung 2022.
Jika mahu bertanya mengapa Laporan RCI Tabung Haji lambat didedahkan, pertanyaan itu perlu dibuat secara konsisten kepada semua pentadbiran yang pernah memegang laporan tersebut.
Dalam kes Idris Ahmad, hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah RCI itu siap ketika beliau sendiri menjadi Menteri Agama, dan kerajaan ketika itu masih mempunyai 41 hari sebelum Parlimen dibubarkan.
Sumber : Nadi Daily

No comments:
Post a Comment