ULAMA DIHORMATI, BUKAN DIKULTUSKAN. PENGIKTIRAFAN BUKAN LESEN UNTUK TAASUB






Pengiktirafan daripada ulama atau pemimpin gerakan Islam luar negara boleh dihormati dan dilihat sebagai sesuatu yang positif. Namun, ia bukan bukti mutlak bahawa seseorang tokoh sentiasa benar dalam setiap pandangan, khususnya dalam perkara politik yang bersifat ijtihadi.


Yang perlu dibezakan ialah mengiktiraf keilmuan seseorang tokoh dengan menganggap semua pandangan politiknya wajib diikuti.


Seorang tokoh mungkin mempunyai ilmu yang tinggi, pengalaman luas dan dihormati di peringkat antarabangsa. Namun, itu tidak menjadikan setiap pandangan politiknya maksum daripada kesilapan. 


Dalam tradisi ilmu Islam, kebenaran tidak ditentukan oleh jumlah pengikut atau ramai tokoh yang memberikan pengiktirafan. Sesuatu pandangan tetap dinilai berdasarkan dalil, hujah, manhaj, konteks, maqasid dan kesannya kepada masyarakat.


Dalam menilai TGHH, persoalannya bukan sekadar “siapa yang mengiktiraf beliau?” tetapi lebih penting apakah pandangannya? Sejauh mana ia selari dengan manhaj Ahlus Sunnah yang menjadi arus utama kefahaman Islam di Malaysia? Adakah ia sesuai dengan realiti masyarakat tempatan? Dan apakah kesan pendekatan politiknya terhadap ukhuwah, keadilan dan keharmonian masyarakat?


Yang tidak kurang penting ialah bagaimana pengikut menerima pandangan tersebut. Adakah mereka menilai hujah secara kritis, atau menerima setiap pandangan tokoh seolah-olah tidak boleh dipersoalkan?


Jika sebahagian pengikut menjadi terlalu taksub, mudah melabel orang lain, menganggap parti sendiri mewakili Islam, memusuhi perbezaan pandangan serta menggunakan bahasa agama untuk menyerang lawan politik, budaya tersebut wajar ditegur tanpa perlu menafikan ilmu dan jasa tokoh berkenaan.


Menghormati ulama tidak bererti mengkultuskan ulama atau menganggap mereka kebal daripada kritikan. Pengiktirafan di peringkat antarabangsa boleh menunjukkan seseorang tokoh mempunyai pengaruh dan kedudukan tertentu, tetapi nilai sebenar ilmu terserlah melalui akhlak, keadilan, kebijaksanaan, keluasan pandangan dan rahmah yang lahir daripadanya.


Jika ilmu semakin tinggi tetapi pengikut semakin keras, taasub dan mudah menghukum orang yang berbeza, kita wajar bertanya yang diwarisi itu ilmu tokoh, atau sekadar fanatisme terhadap tokoh?


Dalam Islam, ulama dimuliakan tetapi tetap boleh dikritik, parti disokong tetapi tidak boleh dianggap suci, dan pemimpin ditaati dalam perkara yang benar, bukan secara membuta tuli.


Ukuran kebenaran bukan siapa yang berkata, tetapi apa yang dikatakan dan sejauh mana ia bertepatan dengan dalil, keadilan, hikmah dan maslahat.


IBNU ALI






No comments: