JPN buat laporan polis video tular lelaki Myanmar dakwa miliki MyKad
KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Mynamar namun mengakui mempunyai MyKad.
Menurut JPN melalui hantaran di Facebook, laporan polis itu dibuat untuk membolehkan siasatan lanjut pihak berkuasa serta bagi mengelakkan kekeliruan, spekulasi dan kegusaran awam.
"JPN memandang serius sebarang dakwaan membabitkan pemilikan MyKad atau status kewarganegaraan seorang individu," katanya.
Namun, JPN menegaskan bahawa mereka tidak boleh mengesahkan status kewarganegaraan seseorang hanya berdasarkan rakaman video tular.
Sebarang pengesahan hanya boleh dibuat melalui semakan rekod rasmi dan siasatan terperinci mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Ketika ini identiti sebenar individu berkenaan masih belum dapat dikenal pasti dan tiada maklumat lengkap yang boleh digunakan bagi tujuan pengesanan atau tindakan lanjut oleh JPN," katanya.
Sehubungan itu, JPN memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti individu terbabit, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta membantu mengesan sumber asal video tersebut.
JPN menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, dan sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mendapatkan fakta.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, selepas sebuah akaun TikTok berkongsi video berkenaan.

No comments:
Post a Comment