PKR memaklumkan senarai calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan kini hampir dimuktamadkan, dengan hanya menunggu pengumuman rasmi dalam beberapa hari lagi.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata proses pemilihan calon telah mencapai tahap 99 peratus dan parti akan mempertaruhkan gabungan muka lama serta muka baharu bagi kedua-dua pilihan raya negeri tersebut.
Menurutnya, PKR dijangka bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, manakala 16 kerusi di Negeri Sembilan.
“Tunggu pengumuman rasmi dalam tempoh beberapa hari lagi. Kita akan menampilkan gandingan seimbang antara muka lama dan baharu, selain mengekalkan keterwakilan wanita dan anak muda,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar calon muka baharu yang bakal diketengahkan.
“Mengenai peratusan muka baharu, tunggu hari pengumuman nanti,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Econsave Taman Daya, Johor Bahru hari ini.
Kenyataan itu sekali gus memberi petunjuk bahawa PKR sedang membuat persiapan akhir menjelang PRN Johor yang dijadual berlangsung pada 11 Julai depan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 7 Julai.
Dalam perkembangan berasingan, Fuziah turut ditanya mengenai status Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang sebelum ini mencabar parti memecatnya susulan siasatan disiplin yang sedang berjalan.
Beliau berkata perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin PKR dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan oleh badan berkenaan.
“Soal itu telah diserahkan kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan lanjut,” katanya ringkas.
Isu membabitkan Wong Chen menjadi perhatian selepas beberapa kenyataan beliau sebelum ini mencetuskan perbahasan dalam kalangan pimpinan dan penyokong PKR, termasuk cabarannya agar parti mengambil tindakan tegas sekiranya didapati melanggar disiplin parti.
No comments:
Post a Comment