‘Maaf cakap saya terkilan’ – Lokman kritik tindakan Adun BN cetus krisis di N9





 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mengakui agak terkilan dengan tindakan 14 ADUN BN yang mencetuskan ketidakstabilan politik di Negeri Sembilan, menyifatkan ia boleh merosakkan hubungan baik antara Umno dan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.

 Beliau berkata, krisis yang dicetuskan 14 ADUN BN telah memberi implikasi negatif terhadap sokongan rakyat kepada parti itu, terutama dalam kalangan komuniti Cina dan India yang sebelum ini dilihat mula kembali menyokong BN.

“Memang dari segi implikasi tak bagus. Minta maaf cakap, saya sedikit terkilan sebab mood di bawah dah cantik. Komuniti Cina dan India yang dulu marah dah kembali dekat kita dan suka kita. 

“Tiba-tiba bila berlaku krisis ini, ianya menjejaskan sokongan BN Umno,” katanya dalam satu ulasan video di Facebook beliau.

Lokman menyeru kepimpinan parti supaya lebih tegas dalam menangani isu ini, sambil menegaskan bahawa badan perhubungan negeri tidak boleh dibiarkan bertindak seperti “loose cannon” tanpa disiplin parti.

Loose cannon bermaksud seseorang atau kumpulan yang bertindak sendiri tanpa kawalan, tidak ikut arahan atau disiplin, dan tindakan mereka boleh mendatangkan bahaya atau malu kepada organisasi mereka sendiri.

“Saya harap kepimpinan parti lebih tegas. Kita tidak boleh kalau di peringkat negeri kita bekerjasama dengan PN, tetapi dekat Pusat pula bekerjasama dengan PH. Akhirnya ia akan merosakkan kerjasama yang membolehkan Malaysia hidup aman damai,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tidak cermat segelintir pihak boleh meruntuhkan pencapaian ekonomi negara yang sedang berada pada landasan positif, termasuk nilai ringgit yang kukuh, prestasi Bursa Saham Kuala Lumpur yang baik, KDNK yang meningkat serta kadar jenayah yang semakin menurun.

Beliau berkata, BN bernasib baik kerana pada akhirnya keputusan akan dibuat oleh pucuk pimpinan utama, sekali gus mengekalkan hubungan baik dan kerjasama dua gabungan.

“Bila ada satu, dua langkah tak cermat, ia akhirnya merosakkan segala-galanya. Kita bernasib baik sebab akhirnya keputusan diambil pucuk pimpinan utama. 

“Memang betul negeri boleh buat keputusan tapi akhirnya keputusan muktamad perlu lalui persetujuan di peringkat Persekutuan. Jangan risau, yakinlah kebijaksanaan Presiden Umno dan PMX. Kita takkan biarkan benda-benda kecil musnahkan hubungan kita di peringkat Persekutuan,” ujarnya lagi.



No comments: