Bursa Malaysia Lepasi 1,640 Mata, Paras Tertinggi Tahun Ini

 


Aliran masuk dana ke pasaran saham kekal memberangsangkan, sekali gus menyokong prestasi indeks yang dijangka bergerak dalam julat 1,630 hingga 1,650 mata sehingga hujung tahun ini.

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Bursa Malaysia naik 5.91 mata kepada 1,643.72 pada pukul 5 petang hari ini, berbanding 1,637.81 pada penutup Jumaat, sekali gus mencatat prestasi terbaik sejak 31 Disember 2024.

Indeks penanda aras dibuka tinggi 1,635.08 pagi tadi.

Jumlah dagangan sebanyak RM2.50 bilion unit bernilai RM2.15 bilion.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, aliran masuk dana ke pasaran saham kekal memberangsangkan, sekali gus menyokong prestasi indeks yang dijangka bergerak dalam julat 1,630 hingga 1,650 mata sehingga hujung tahun ini.

Prestasi Bursa Malaysia ketika ditutup jam 5 petang 15 Disember 2025. Foto Yahoo! Finance

“Bagaimanapun, pasaran dijangka kembali stabil susulan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur serta tindakan pengurus dana menutup portfolio masing-masing menjelang akhir tahun kewangan 2025,” katanya.

Menurut Aimi Zulhazmi, akan berlaku perubahan lain sekiranya ada geopolitik yg timbul yang mengganggu perkembangan ekonomi global.

“Hal ini akan boleh menyebabkan peralihan semula kepada pengukuhan mata wang dolar,” katanya.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 641 berbanding 402 dengan 559 kaunter tidak berubah dan 1,161 tidak diniagakan.

Sementara itu, indeks Kospi Korea Selatan menurun sebanyak 1.84 peratus atau 76.57 mata kepada 4,090.59 ketika berita ini ditulis.

Selain itu, indeks Nikkei Jepun menurun sebanyak 668.44 mata atau 1.31 peratus kepada 50,168.11 dan indeks STI Singapura turun 0.1 peratus kepada 4,581.65.



No comments: