25 December 2025
Pertama sekali harus diberikan ucapan tahniah dan syabas kepada Pas kerana telah bertindak pantas menamatkan cubaan untuk menjatuhkan MB Perlis, Shukri Ramli.
Dalam keputusannya malam tadi, Pas mengumumkan tiga Adun parti itu di Perlis telah terhenti keahlian mereka berkuat-kuasa serta merta.
Mereka ialah Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Tiga Adun berkenaan dipercayai terbabit bersama lima Adun Bersatu dalam menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Shukri.
Lima wakil rakyat Bersatu yang turut menarik sokongan itu ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).
Kumpulan berkenaan dilaporkan turut mengemukakan nama tiga Adun daripada Bersatu iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) kepada Istana Perlis sebagai calon MB Perlis yang baru untuk menggantikan Shukri.
Keputusan Pas bertindak memaklumkan keahlian parti tiga Adun berkenaan terhenti adalah disebabkan tindakan mereka itu dianggap bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Presiden Pas, Tuan Guru Hadi Awang seterusnya berkata, pihaknya akan memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada Speaker DUN Perlis.
“(Ia) bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta,” katanya.
Kenyataan beliau itu merujuk kepada undang-undang kerajaan negeri yang menyatakan seseorang itu akan terhenti menjadi Adun dan kerusinya menjadi kosong sebaik sahaja “dia melepaskan keanggotaan parti politiknya.”
Dalam maksud yang mudah, tujuan Pas dalam hal ini ialah adalah agar diadakan pilihan raya kecil di keriga-tiga DUN berkenaan dan tiga Adun terbabit seterusnya dapat diganti dengan tokoh lain yang mempunyai lebih kesetiaan kepada peraturan serta displin parti.
Kiranya diadakan PRK, Pas dipercayai dengan mudah dapat mengekalkan kemenangan di ketiga-tiga kerusi itu.
Dengan lima Adun Pas masih kekal menyokong Shukri dan tiga Adun yang baru nanti juga semestinya taat setia kepada parti, ditambah dengan keputusan PH Perlis semalam untuk terus menyokong parti Islam itu menerajui Perlis sehingga habis penggal demi menjamin kestabilan, bermakna lima Adun Bersatu bakal terpanggang begitu saja.
Perlis mempunyai 15 DUN di mana Pas mempunyai 9 Adun, Bersatu 5 dan PH 1.
Dalam hal ini, besar kenungkinan selepas ini Bersatu akan memanggil kelima-lima Adun mereka itu dan akan dinasihatkan untuk terus memberi sokongan kepada Shukri.
Makna kata, drama sudah boleh dikira berakhir.
Yang pasti, langkah pantas Pas menangani isu ini berjaya menghalang, malah menjadikan cubaan menukar MB menjadi berkecai dan bersepai di tengah jalan.
Di sinilah pentingnya Tuan Guru Hadi untuk terus menarajui Pas. – ShahbudinHusin 25Disember2025.
https://shahbudindotcom.net/2025/12/berkecai-sudah-impian-tukar-mb-perlis-syabas-pas-kerana-bertindak-pantas/
No comments:
Post a Comment