Rasuah Projek Solar: Rosmah Gagal ‘Buang’ Hakim

 


Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya supaya Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam kes rasuah.

PUTRAJAYA, 17 Sep – Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya supaya Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada terus mendengar dan membuat keputusan dalam kes rasuah.

Kes berkenaan yang dihadapi Rosmah adalah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion beberapa tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, sebulat suara menolak rayuan isteri Najib Razak itu selepas mendapati Rosmah gagal menunjukkan terdapat merit dalam rayuan berkenaan.

“Dengan itu, kami mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, sebulat suara menolak rayuan Rosmah. Foto arkib

Rosmah, 74, memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menarik diri – dua hari sebelum keputusan kes rasuah dihadapinya dijangka diumumkan – berdasarkan alasan penghakiman kes didakwa ‘bocor’.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.



No comments: