PUJIAN PMX DS ANWAR TERHADAP DS MUHAMAD SABU SAHABAT PERJUANGAN!


Pagi tadi saya telah menghadiri Majlis Perasmian Pasar Tani Putrajaya dan Sambutan Ulangtahun Penubuhan Pasar Tani Yang Ke-40 Peringkat Kebangsaan dengan perasaan yang agak terharu dan membuak-buak. Ini kerana inisiatif Pasar Tani merupakan satu gagasan ampuh yang diperkenalkan saya sewaktu menjawat jawatan Menteri Pertanian pada tahun 1985 sebagai wahana dan medan kepada para petani dan pengeluar kecil untuk menjual hasil-hasil mereka, dan dalam masa yang sama menolak peranan orang tengah atau kartel yang menekan harga. Justeru, Pasar Tani pertama telah dibuka di Kompleks Bilik Sejuk FAMA di Tampoi, Johor Bahru, dan saya telah hadir merasmikannya pada 31 Januari 1985. Ia menjadi detik bersejarah tatkala buat julung kalinya para pengeluar dapat bersemuka terus dengan pengguna dan pembeli, lantas merapatkan jurang antara petani dengan masyarakat yang menikmatinya. Pada awal penubuhannya dahulu, pasar tani hanya berjumlah sekitar 12 buah sahaja, dengan penyertaan seramai 317 orang peserta. Nilai jualan pada ketika itu sekitar RM1.4 juta setahun. Nilainya agak kecil pada waktu itu, tetapi sangat bermakna. Hari ini, setelah berpuluh tahun berlalu, saya melihat sendiri bagaimana gagasan ini berkembang dan terus memberi manfaat luas kepada rakyat terbanyak. Walhasil, menyaksikan kelangsungan inisiatif Pasar Tani hingga ke hari ini ternyata menjentik ruang perasaan yang terdalam. Inisiatif kecil yang dimulakan pada masa lalu kini terpasak sebagai legasi yang terus memartabatkan petani dan pengeluar tempatan, mengurangkan jurang harga, dan yang terpenting ia mampu mengangkat maruah petani, nelayan dan penternak kita.



No comments: