YB SHAREZAN JOHAN
Saya membaca dengan penuh kecewa status yang disiarkan oleh Yang Berhomat Mohd Hafez Sabri, ADUN Manjoi dan Ketua Pemuda PAS Perak merengkap Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, yang memainkan sentimen agama dalam isu penggantungan Yang Berhormat Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, daripada Dewan Rakyat selama 2 hari semasa sesi penggulungan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr Na’im Mokhtar, semalam.
Mengenai isu ini, saya sendiri berada dalam Dewan Rakyat ketika insiden ini berlaku. Saya saksi hidup mengenai apa yang terjadi. Masa itu, Yang Berhormat Pengkalan Chepa sedang bertikam lidah dengan Menteri Agama, dan disebabkan masa yang kian suntuk maka Timbalan Speaker, Yang Berhormat Alice telah menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(2) untuk tidak membenarkan mana-mana Ahli Dewan untuk bertanyakan soalan lagi.
Walaupun dengan arahan ini, YB Pengkalan Chepa masih tidak mengendahkan YB Timbalan Speaker dan terus bertengkar dengan YB Menteri walaupun amaran telah diberikan. Maka, YB Timbalan Speaker minta supaya YB Pengkalan Chepa ‘rehat sekejap’ (diarah keluar) jika bangun sekali lagi. Tetapi YB Pengkalan Chepa masih degil dan akhirnya beliau diarah untuk rehat diluar selama setengah jam.
Tetapi walaupun dengan keputusan ini dan amaran YB Alice Lau sekali lagi, YB Pengkalan Chepa masih berucap tanpa kebenaran. Akhirnya, beliau digantung selama dua hari.
Apa yang terjadi ini tidak ada kena mengena dengan parti mahupun agama YB Alice. Tetapi, seperti biasa, pemimpin PAS seperti YB Mohd Hafez Sabri hanya tahu memainkan sentimen kaum dan agama. Isu tentang ketidakpatuhan arahan Pengerusi Dewan Rakyat walaupun berkali-kali amaran diberikan telah dikaitkan dengan anutan agama YB Alice itu sendiri.
Kami Ahli Dewan semua mahu mendengar penjelasan daripada YB Menteri Agama mengenai perkara-perkara berkaitan agensi agama di peringkat Persekutuan yang telah dibangkitkan dalam perbahasan. Tindakan YB Datuk Ahmad Marzuk ini mengganggu urusan Dewan, sebenarnya.
Adakah kenyataan YB Mohd Hafez ini bertujuan untuk mengalih perhatian daripada hipokrasi mereka tentang isu ini? Untuk rekod, telah didedahkan bahawa semasa mereka berkuasa, 23 syarikat bukan bumiputera telah diberikan kontrak oleh Tabung Haji, tetapi kini dijadikan ini isu pula di zaman Kerajaan MADANI.
Sepatutnya seorang wakil rakyat muda bawa politik baru yang lebih segar dan matang, tetapi malang sungguh politik PAS masih di takuk lama yang sama. Pemimpin muda tetapi masih meneruskan politik perkauman yang sempit.

No comments:
Post a Comment