
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu penjualan saham dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, keterangan itu adalah sebahagian prosiding Pengurusan Lapangan Terbang Awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF), MAHB, Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, sepanjang minggu ini, PAC telah mengadakan enam prosiding berhubung isu berkenaan, membabitkan beberapa saksi.
Mereka adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin; Ketua Pegawai Eksekutif, Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), Lee Jim Leng dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], Datuk Hajah Nik Amlizan Mahamed.
Turut terlibat Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad, Datuk Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed dan Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Zain Azhari Mazlan yang mewakili Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, setakat ini, PAC telah mengadakan sejumlah 14 mesyuarat prosiding berhubung isu Pengurusan Lapangan Terbang Awam ini.
“PAC akan hanya membentangkan penyata setelah mengambil keterangan daripada semua pihak yang berkepentingan,” kata beliau lagi dalam kenyataan semalam.
No comments:
Post a Comment