HarapandailyMay 26, 2025
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat insiden seorang guru
didakwa memalukan seorang murid sekolah rendah di hadapan rakan sehingga
memberi kesan emosi terhadap kanak-kanak berkenaan.
Menteri, Fadhlina Sidek, berkata hal tersebut amat dikesali lebih-lebih lagi rakaman berkenaan turut tersebar dan memberi impak besar kepada masyarakat.
Menurutnya, KPM akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi memberi
tumpuan kepada isu ini.
“Guru sentiasa diingatkan dari semasa ke semasa mengenai integriti dan
etika sebagai penjawat awam walau apa juga isu yang terjadi.
“Saya juga yakin dan percaya ada ruang lebih selamat dan bersifat
privasi untuk memastikan apa saja perbincangan dan isu dapat diselesaikan
secara baik,” katanya, dipetik BH.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk
Azman Adnan untuk memperhalusi perkara itu dengan lebih serius kerana ia
membabitkan integriti dan etika guru.
“KPM juga sebenarnya sudah
berkali-kali mengingatkan kepada guru yang juga penjawat awam mengenai garis
panduan sedia ada dan mematuhi etika serta integriti baik di dalam kelas, luar
kelas dan media sosial sekali pun,” ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang murid sekolah rendah
yang dimarahi beberapa guru di kantin sekolah.
Menerusi video itu, murid perempuan berkenaan dipaksa untuk mengaku
perkara yang tidak dilakukannya.
Video itu dirakam dan kemudian diberikan kepada ibu murid berkenaan.
No comments:
Post a Comment