PMO Bakal Adakan Taklimat Harian Secara ‘Live’ Tangkis Berita Palsu

 


Tunku Nashrul ketika mengadakan sidang media pemaklumkan taklimat harian yang akan disiarkan secara langsung bagi menangkis fitnah pembangkang.

KUALA LUMPUR, 1 Mar – Satu lagi inisiatif menerusi Pejabat Perdana Menteri (PMO) diumumkan hari ini apabila pejabat pentadbiran itu akan mengadakan taklimat harian yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran media tempatan.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, tujuan utama taklimat ini adalah untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih daripada sumber rasmi daripada PMO secara terus.

Melalui taklimat itu katanya, Pejabat Perdana Menteri akan menjelaskan isu-isu semasa, dasar-dasar penting, serta perkembangan terkini yang perlu diketahui oleh rakyat.

“Ini juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.

“Inisiatif ini juga selaras dengan gagasan Madani yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya.

Menurut Tunku Nashrul, selain daripada inisiatif komunikasi, sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, Perdana Menteri akan melaksanakan Program Ihya’ Ramadan di setiap kementerian

Katanya, program itu bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.

“Sepanjang bulan Ramadan, Perdana Menteri akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas yang akan disampaikan oleh beliau sendiri serta penceramah jemputan.

“Melalui program ini, nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan Madani,” ujarnya.

Pada masa sama katanya, Perdana Menteri bersetuju untuk turun ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, selain bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa Madani.

“Butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.

“Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan,” katanya.



No comments: