TERKINI DARI SPRM SIASATAN RASUAH BEKAS PEGAWAI ISMAIL! RM150 JUTA DIJUM...


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan lapan individu berhubung siasatan terhadap empat bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disyaki terlibat rasuah. Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata lapan individu itu, yang tidak didedahkan identitinya, akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat. "Kami akan memanggil lapan saksi dalam minggu ini dan minggu hadapan," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini. Mengulas lanjut, Azam berkata Bahagian Pencegahan Wang Haram kini sedang meneliti dokumen berkaitan yang dirampas dalam siasatan kes itu. "Dokumen sedang diteliti dan siasatan bukan sahaja di bawah Akta SPRM 2009, namun siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya. Pada Jumaat lepas, SPRM menahan reman empat pegawai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Putrajaya. Menurut sumber rapat SPRM, tiga daripada individu terbabit direman selama lima hari bermula pada Jumaat manakala seorang lagi direman tiga hari dan telah dibebaskan pada 23 Feb lepas.






No comments: