
Anwar memfailkan saman terhadap Ahmad Amzad pada 22 Disember 2022 atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.
KUALA LUMPUR, 5 Mar – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menarik balik kenyataannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pada 7 Disember 2022, manakala Anwar menarik balik saman tersebut tanpa sebarang kos.
Anwar diwakili peguam Datuk Sankara Narayanan Nair (SN Nair), Narendran Letchiemanan dan Wong Guo Jin dari firma guaman S N Nair & Partners, manakala Ahmad Amzad diwakili peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.
Ia setelah Mahkamah Tinggi di sini merekodkan penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman fitnah membabitkan Anwar dan Ahmad Amzad.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani jam 9 pagi pada Rabu.
Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim dan kakitangan mahkamah serta berharap keputusan ini dihormati semua pihak demi kesejahteraan negara.
Terdahulu, Anwar memfailkan saman terhadap Ahmad Amzad pada 22 Disember 2022 atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.
Berikut merupakan kenyataan awam yang disiarkan bagi menjelaskan perkara berkenaan.
KENYATAAN AWAM
1) Setelah mempertimbangkan kesan Saman Fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan/atau penting yang perlu diberikan perhatian. YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka di prosiding Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Terengganu, dibawah Guaman Sivil No: TA-23CY-3-12/2022.
2) Rentetan daripada atas, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim menarik balik kenyataan yang dibuat olehnya pada 07.12.2022 dan secara kesannya YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim menarik balik Guaman Sivil No: TA-23CY-3-12/2022 tanpa sebarang kos.
3) YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai Mahkamah yang terlibat serta juga berharap agar Keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahawa yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan keharmonian negara Malaysia.

No comments:
Post a Comment