Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana -mana pihak yang menghina dan mempersenda agama dan sensitiviti isu 3R di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tindakan tegas melalui Seksyen 298 Kanun Keseksaan, seksyen 504 Kanun Keseksaan, seksyen 505 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia perlu diambil untuk memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.
Seksyen 298 menjenayahkan tindakan melakukan perasaan agama seseorang dan boleh dipenjarakan setahun dan denda jika sabit kesalahan.
Seksyen 504 menjenayahkan mengaibkan seseorang dengan tujuan memecahkan keamanan. Seksyen 505 menjenayahkan perbuatan membuat kenyataan awam yang mendatangkan khianat awam.
Mereka yang disabitkan kesalahan boleh disabitkan dengan hukuman penjara dua tahun.
Beliau turut menamakan segelintir individu yang menyebarkan provokasi, penghinaan agama dan perkara berkaitan 3R di TikTok.
Mereka yang dinamakan adalah Vijayan Savarinathan, Zamri Vinoth, Saravanan Sanmugom dan Crime_Man.
Di peringkat kementerian, Aaron menyatakan bahawa kempen Cakap Baik-Baik dengan prinsip Faham, Hormat dan Terima sedang dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee turut memandang serius tindakan seorang individu yang memuatnaik kandungan media yang jelas mempermainkan serta mempersendakan ajaran Islam dan tular di media social.
Nama individu berkenaan bagaimanapun tidak disebut dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
No comments:
Post a Comment