Kos lawatan Perdana Menteri (PM)
sepanjang minggu lalu ke empat negara telah dijelaskan oleh Menteri Komunikasi
Fahmi Fadzil semalam, iaitu dibiayai oleh kerajaan. Manakala ahli perniagaan
yang menyertai lawatan itu dibiayai oleh sumber masing masing.
Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda
Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli Abdul Halim mempersoalkan gesaan Ketua
Armada Bersatu, Hilman Idham agar PM disisat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) kerana dikhuatiri berlaku 'rasuah' dalam pembiayaan lawatan
berkenaan.
"Kenyataan Ketua Armada Bersatu,
Hilman Idham hanya kenyataan politik. Bunyi macam cerdik dengan petik
peruntukan undang-undang, tapi asasnya terpesong. Ibarat golok kayu
"Ini lawatan kerja, bukan lawatan
peribadi. Menteri Komunikasi sudah terangkan perbelanjaan PM ditanggung
Kerajaan.
"Perbelanjaan delegasi lain
ditanggung sumber bukan Kerajaan. Hilman, sebagai bekas Setiausaha Politik
Menteri MITI seharusnya lebih arif tentang perkara ini. Takkanlah tak tahu? Ke
buat-buat lupa?" tanyanya.
Menurut Adam Adli, sesuatu yang lazim
PM akan membawa delegasi besar dalam lawatan beliau untuk mencari pelaburan
atau memperkenalkan perniagaan tempatan di luar negara.
Juga menjadi amalan lazim para usahawan
membiayai sendiri perbelanjaan mereka.
Oleh itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya
tersebut tertanya tanya mengenai unsur rasuah yang dikatakan Hilman.
"Nak siasat bawah Seksyen 165
untuk apa bila tidak pun melibatkan sebarang hadiah atau habuan? Tidak
melibatkan transaksi duit. Tidak melibatkan urusan atau perbicaraan yang ada
kepentingan meragukan.
"Apa kesalahan yang nak disabitkan
di sini? Jangan hanya petik tapi tak faham tafsirannya.
"Kalau berkeras dan rasa ada
kesalahan, Hilman boleh lapor SPRM. Tapi saya nasihatkan jangan buang masa
pegawai SPRM dengan isu yang tidak berasas begini. Saya yakin SPRM sangat
sibuk, ada banyak ‘safe house’ nak digeledah lagi," sinisnya.
Bagi Timbalan Menteri Belia dan Sukan
itu, Kerajaan Madani telah merancang sebaik baiknya lawatan berkenaan dengan
menjimatkan wang pembayar cukai apabila mensyaratkan usahawan yang turut serta
dibiayai sumber masing masing.
"Bila melibatkan delegasi besar,
Kerajaan perlu bijak rencana perbelanjaan. Ini duit pembayar cukai. Apakah
Kerajaan perlu tanggung kos perjalanan wakil-wakil industri yang ikut bersama?
"Sebab itu wajarlah apabila
wakil-wakil industri ini tanggung sebahagian besar kos perjalanan yang
melibatkan mereka sendiri. Jika Kerajaan tanggung, mungkin kita boleh kata
bermasalah," katanya lagi.
Semalam Hilman dalam kenyataan berkata,
SPRM boleh membuka kertas siasatan selaras dengan Seksyen 29(3) Akta SPRM berhubung
lawatan itu.
Bagaimanapun unsur utama rasuah
memerlukan bukti bahawa syarikat swasta menanggung perbelanjaan lawatan PM, dan
hal itu tidak berlaku dalam penganjuran lawatan berkenaan.