Kos lawatan PM tidak ditaja pihak swasta, untuk apa suruh SPRM siasat?






Kos lawatan Perdana Menteri (PM) sepanjang minggu lalu ke empat negara telah dijelaskan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam, iaitu dibiayai oleh kerajaan. Manakala ahli perniagaan yang menyertai lawatan itu dibiayai oleh sumber masing masing.



Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli Abdul Halim mempersoalkan gesaan Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham agar PM disisat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikhuatiri berlaku 'rasuah' dalam pembiayaan lawatan berkenaan.



"Kenyataan Ketua Armada Bersatu, Hilman Idham hanya kenyataan politik. Bunyi macam cerdik dengan petik peruntukan undang-undang, tapi asasnya terpesong. Ibarat golok kayu



"Ini lawatan kerja, bukan lawatan peribadi. Menteri Komunikasi sudah terangkan perbelanjaan PM ditanggung Kerajaan.



"Perbelanjaan delegasi lain ditanggung sumber bukan Kerajaan. Hilman, sebagai bekas Setiausaha Politik Menteri MITI seharusnya lebih arif tentang perkara ini. Takkanlah tak tahu? Ke buat-buat lupa?" tanyanya.



Menurut Adam Adli, sesuatu yang lazim PM akan membawa delegasi besar dalam lawatan beliau untuk mencari pelaburan atau memperkenalkan perniagaan tempatan di luar negara.



Juga menjadi amalan lazim para usahawan membiayai sendiri perbelanjaan mereka.



Oleh itu, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya tersebut tertanya tanya mengenai unsur rasuah yang dikatakan Hilman.



"Nak siasat bawah Seksyen 165 untuk apa bila tidak pun melibatkan sebarang hadiah atau habuan? Tidak melibatkan transaksi duit. Tidak melibatkan urusan atau perbicaraan yang ada kepentingan meragukan.



"Apa kesalahan yang nak disabitkan di sini? Jangan hanya petik tapi tak faham tafsirannya.



"Kalau berkeras dan rasa ada kesalahan, Hilman boleh lapor SPRM. Tapi saya nasihatkan jangan buang masa pegawai SPRM dengan isu yang tidak berasas begini. Saya yakin SPRM sangat sibuk, ada banyak ‘safe house’ nak digeledah lagi," sinisnya.



Bagi Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, Kerajaan Madani telah merancang sebaik baiknya lawatan berkenaan dengan menjimatkan wang pembayar cukai apabila mensyaratkan usahawan yang turut serta dibiayai sumber masing masing.



"Bila melibatkan delegasi besar, Kerajaan perlu bijak rencana perbelanjaan. Ini duit pembayar cukai. Apakah Kerajaan perlu tanggung kos perjalanan wakil-wakil industri yang ikut bersama?



"Sebab itu wajarlah apabila wakil-wakil industri ini tanggung sebahagian besar kos perjalanan yang melibatkan mereka sendiri. Jika Kerajaan tanggung, mungkin kita boleh kata bermasalah," katanya lagi.



Semalam Hilman dalam kenyataan berkata, SPRM boleh membuka kertas siasatan selaras dengan Seksyen 29(3) Akta SPRM berhubung lawatan itu.



Bagaimanapun unsur utama rasuah memerlukan bukti bahawa syarikat swasta menanggung perbelanjaan lawatan PM, dan hal itu tidak berlaku dalam penganjuran lawatan berkenaan.