12 November 2024
Ada tiga PRN yang perlu dilangsungkan terlebih dahulu sebelum tibanya PRU16 yang dijangka diadakan pada tahun 2027 akan datang.
PRN tersebut ialah di Sabah, Melaka dan Johor.
Pada PRN Sabah tahun 2020, ia dimenangi oleh GRS yang memenangi 38 daripada 73 kerusi Dun di negeri tersebut.
Pecahan kemenangan GRS ialah PN menang 17 kerusi, BN 15 kerusi dan PBS 7 kerusi, lalu Hajiji Noor dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah.
Bagaimanapun, hubungan UMNO dalam GRS mula berantakan pada Januari 2023 apabila 13 Adun UMNO Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji, namun tindakan itu tidak menyebabkan beliau kehilangan jawatannya, cuma melalui sususan kabinet negeri kemudiannya, Bung Mokhtar dan beberapa yang lain telah kehilangan jawatan serta beberapa Adun UMNO pula menyatakan sokongan kepada Hajiji.
PRN Sabah dijangka diadakan pada awal tahun depan.
Pada PRN Melaka (tahun 2021) dan Johor (tahun 2022), kedua-duanya berjaya dimenangi oleh BN dengan majoriti dua pertiga.
Di Melaka, BN menang 21 daripada 28 kerusi, manakala di Johor, parti itu menang 40 daripada 56 kerusi Dun yang dipertandingkan.
Berdasarkan kedudukan BN di tiga PRN yang bakal berlangsung sebelum PRU16, adalah jelas bahawa potensi untuk UMNO/BN meraih kejayaan lebih gemilang adalah cerah sekali.
Di Sabah, UMNO negeri itu yang dipimpin oleh Bung Mokhtar Radin sudah membuat kenyataan beberapa hari lalu enggan bekerjasama dengan GRS dalam PRN akan datang ini.
Sebaliknya, BN Sabah hanya mahu bekerjasama dengan PH serta dengan beberapa parti kecil yang lain.
Walaupun PKR hanya menang 2 kerusi dan Upko 1 kerusi dalam PRN lalu, tetapi kerjasama BN dan PH diyakini mampu melonjakkan lagi kemenangan, terutamanya dengan tercetuskan isu rasuah melibatkan beberapa Adun negeri itu baru-baru ini.
Jika itu rasuah itu terus berkembang dan sehingga membawa kepada pendakwaan di mahkamah, harapan UMNO/BN untuk kembali menerajui negeri Sabah boleh dikata secerah mentari di waktu pagi.
Bagi Melaka dan Sabah, dulu BN menang dua pertiga melalui pertembungan tiga penjuru melibatkan BN, PH dan juga PN.
Kini dengan BN dan PH sudah bekerjasama dalam kerajaan perpaduan, harapan untuk mengekalkan kemenangan tentulah jauh lebih cerah musuh di depan hanyalah PN saja.
Kalau semua yang dirancang menjadi kenyataan, bermakna di ketiga-tiga PRN yang bakal diadakan sebelum ketibaan PRU16, pemenang sebenar serta parti yang bakal mengetuai kerajaan negeri ialah UMNO/BN.
PH hanya akan berperanan sebagai pembantu untuk merealisasikan kemenangan.
Sebagaimana Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi selalu menekankan perlunya parti itu menjadi dominan selepas PRU16, tiada pilihan lain selain UMNO mesti membuktikan kejayaan terlebih dahulu di tiga PRN itu.
Cemerlang di tiga PRN terbabit, cerahlah harapan Zahid Hamidi untuk melihat UMNO jadi dominan menjadi kenyataan. – ShahbudinHusin 12November2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/11/cemerlang-di-tiga-prn-cerahlah-harapan-umno-jadi-dominan/