SEMOGA CERAH MASA DEPAN
NAJIB
25 October 2024
Petang semalam, bekas Perdana Menteri yang kini
dipenjarakan, Najib Razak membuat permohonan maaf secara terbuka kepada
rakyat Malaysia berhubung salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Permohonan maaf secara terbuka itu dibacakan anaknya,
Mohamad Nizar Najib yang juga merupakan Ahli Exco Kerajaan Negeri Pahang di
perkarangan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.
Permohonan maaf semalam itu menyusul hanya
enam hari sebelum Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan sama ada Najib perlu
membela diri atau tidak berhubung empat pertuduhan menggunakan kedudukannya
untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan
wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang yang kini Hakim Mahkamah
Rayuan, akan memutuskan pada 30 Oktober ini sama ada untuk memanggil Najib
membela diri atau membebaskannya daripada pertuduhan berkenaan.
Di sebalik memohon maaf itu, Najib bagaimanapun kekal menyatakan
beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam
buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu
beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB
ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri
ketika itu.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara
terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Najib menambah, setelah menjalani hukuman penjara selama 26 bulan
yang dijalaninya ketika ini berikutan disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42
juta dana milik SRC International (SRC) dan susulan pelbagai perkembangan
signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan maaf ini.
Najib kemudian memetik artikel yang
diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Jho Low dan dua
eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk
menyelewengkan dana 1MDB.
“Perbicaraan mahkamah baru-baru ini, sabitan kes terhadap
eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini diterbitkan
media (The Edge) yang berdasarkan analisis mereka terhadap kes itu serta e-mel
dalaman PetroSaudi, sekali lagi membuktikan saya bukanlah dalang dan tidak
bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB,” dakwanya dalam
kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Najib mendakwa bahawa rumusan daripada
artikel diterbitkan itu menyatakan PetroSaudi serta Jho Low bersubahat untuk
memperdayakan beliau.
“Saya tidak sedar PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya
tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang
telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.
“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah
dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya
terima adalah sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi sepertimana yang
telah dinyatakan dalam prosiding mahkamah bahawa memang terdapat dua sumbangan
besar yang disahkan pada 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi, iaitu
sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding
jenayah ataupun sivil,” dakwanya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menambah, apabila berlaku
kebimbangan dan pelbagai pihak mula mempersoalkan apa yang berlaku dalam 1MDB,
beliau sepatutnya mengambil tindakan yang berbeza.
“Saya telah mengarahkan pelbagai siasatan
dijalankan, namun saya cenderung untuk mempercayai ulasan oleh lembaga pengarah
dan pihak pengurusan 1MDB.
“Apabila saya mula curiga tentang apa yang sebenarnya berlaku
dalam 1MDB, kebimbangan utama saya adalah kepada usaha memulihkan kedudukan
kewangan dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik dua hala
pada peringkat tertinggi,” katanya.
Najib mendakwa lagi, beliau telah dihukum dari segi politik
walaupun dengan jelas, dirinya bukanlah dalang pada segala penyelewengan dalam
1MDB dan tidak pernah sekali pun bersubahat dengan Jho Low.
“Justeru, saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang
undang.
“Saya masih lagi terkejut apabila mengetahui kepincangan dan
perbuatan tidak bermoral serta pelanggaran undang-undang yang berlaku di
1MDB.
“Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC
International Sdn Bhd (SRC) dan juga di 1MDB.
“Adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar
proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,”
katanya.
Semoga Najib diberi keadilan yang sewajarnya pada 30 Oktober
ini. – ShahbudinHusin
25Oktober2024.