POLIS SEDIA SIASAT DAKWAAN ANAK ABUYA DIROGOL


 Polis sedia siasat dakwaan anak Abuya dirogol, didera pemimpin GISBH - KPN

Nor Azizah Mokhtar

bhnews@bh.com.my

October 19, 2024 @ 12:20pm



KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menjalankan siasatan berhubung dakwaan anak bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Ummu Atiyah bahawa dia pernah menjadi mangsa keganasan serta dirogol seorang pemimpin GISB Holdings (GISBH).


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pihaknya akan mengesan wanita itu dan siasatan akan dijalankan sekiranya ada laporan polis dibuat olehnya.


"Kita akan kesan mangsa dan jika ada laporan dibuat siasatan akan dijalankan ke arah itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Terdahulu, Ummu Atiyah, 41, dalam satu sidang media di ibu negara, semalam mendakwa kejadian itu berlaku sewaktu dia dipaksa berkahwin dengan seorang pemimpin GISBH pada 2015.


Wanita itu mendakwa, dia menolak untuk berkahwin dengan lelaki berkenaan kerana seorang yang tua, boroi dan menjijikkan, menyebabkan Ummu Atiyah melarikan diri ke rumah rakannya di Jordan.


Namun, lelaki terbabit dan pengikutnya mencarinya di sana dan mahu Ummu Atiyah menyerahkan diri dengan membuat kecoh.


Dakwa wanita itu, dia dalam keadaan terpaksa menyerah diri dan diminta bersalam dengan lelaki berkenaan sebagai tanda setuju berkahwin tetapi Ummu Atiyah mendakwa menolak permintaan itu.


Akibatnya, dia dipisahkan dengan anaknya dan dilarikan ke Turkiye serta didera kerana enggan memenuhi kehendak pemimpin GISBH itu untuk bersama sehinggalah dirogol.


Wanita itu juga mendakwa dia pernah dicucuh dengan pemetik api dan direndam di dalam kolam.


Ketika itu, adik lelakinya yang juga pengikut pemimpin itu, meminta dia menanggalkan baju untuk ditunjukkan kepada individu berkenaan.


Disebabkan takut dia akan mati selepas direndam di dalam air lebih sejam, tertelan banyak air dan dadanya sakit, Ummu Atiyah terpaksa akur arahan mereka.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1313108/polis-sedia-siasat-dakwaan-anak-abuya-dirogol-didera-pemimpin-gisbh-kpn