ANWAR DAN SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS - 1967-1976

 



Anwar mula berkenalan dengan Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas semasa berada di Universiti Malaya (UM). 


Beliau waktu itu terlibat dengan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Kerana begitu menonjol terutama di pentas Speaker’s Corner UM, Anwar cepat dikesan, dibimbing dan diangkat menjadi pimpinan kedua-dua pertubuhan tersebut kemudian. Beliau juga turut dilantik menjadi Setiausaha Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diketuai oleh YM Tunku Abdullah pada ketika itu. 


Dalam sikap kepimpinannya, Anwar sentiasa mengajak rakan-rakan mendekati ilmuwan dan al-Attas adalah antara ilmuwan yang rapat dengan mereka kerana sering bertemu. Dalam siri pertemuan inilah kepercayaan terbentuk. 


Al-Attas kemudian menjadi Dekan di Fakulti Sastera UM. Dalam tempoh tersebut beliau menulis The Origin of the Malay Sha’ir dan Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago. 


Al-Attas juga aktif mengambil bahagian dalam hal ehwal semasa misalnya ketika tampil menjamin empat mahasiswa, termasuk antaranya Abdul Aziz Deraman, selaku Setiausaha PBMUM ketika itu (beliau pernah menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudian) yang ditangkap rentetan kempen anti-Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu. 


Al-Attas bahkan pergi lebih jauh apabila terlibat dalam penubuhan Parti Gerakan bersama abangnya, Dr Syed Hussein Alatas. Beliau pernah tampil mewakili Gerakan dalam debat kebudayaan bersama Lim Kit Siang di auditorium MARA untuk mempertahankan kepentingan bahasa Melayu. Sebagai latar, dekad 1960-an adalah dekad penting perjuangan bahasa Melayu dengan tergubalnya Akta Bahasa Kebangsaan. Proses Malayanisasi juga membolehkan banyak perjawatan tinggi kerajaan bertukar daripada warga asing kepada anak tempatan termasuk Profesor Diraja Dr Ungku Aziz yang diangkat menjadi Naib Canselor UM menggantikan J. H. E. Griffiths.


Bukan sahaja itu, PBMUM dan PKPIM khususnya telah mula memperjuangkan penubuhan universiti yang mengutamakan bahasa Melayu dan juga universiti Islam. 


Dalam hubungan ini, al-Attas turut menyokong kempen mengecat papan tanda bertulisan Inggeris di seluruh kampus UM yang dilancarkan oleh Persatuan Bahasa Melayu UM di bawah pimpinan Anwar sebagai satu bentuk penegasan agar UM lebih serius dalam menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti. 


Perjuangan bahasa ini tidak terhenti di situ kerana mereka sekali lagi bersama dalam kempen penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di mana al-Attas kemudian menjadi antara pengasas bersama. Sebagai antara pengajar terawal di UKM, al-Attas telah mengasaskan pembentukan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) yang kini telah berkembang mengambil nama baru sebagai Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). 


Ketika di UKM inilah al-Attas menyampaikan ucapan ke-Profesor-an beliau yang kemudian diterbitkan dengan tajuk Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. 


Hubungan mereka berterusan apabila Anwar, selepas bergraduat, diambil menjadi tutor untuk kursus Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu di UKM. Antara mahasiswa yang sempat dibimbing ialah Profesor Dr Rahman Shaari, sasterawan negara berasal dari Perlis. 


Menjelang graduasi, Anwar dan rakan-rakan telah menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bagi melanjutkan perjuangan PKPIM. Al-Attas berperanan mereka bentuk logo ABIM. 


Hubungan ABIM dan al-Attas diteruskan dengan beberapa pertemuan bersifat usrah di mana sebahagian kandungannya kemudian dibukukan menjadi Risalah Untuk Kaum Muslimin. 


Al-Attas kemudian dijemput menyampaikan syarahan dan perkongsian di banyak pertemuan penting misalnya di Amerika Syarikat, Soviet Rusia, Iran dan Eropah. 


Selepas bergraduasi, Anwar kemudian dilantik menjadi Presiden ABIM dan MBM, di mana komitmen beliau semakin besar dan penting termasuk dalam urusan kepimpinan belia dan belia muslim serantau dan antarabangsa. 


Sehinggalah pada awal Disember 1974 terjadi demonstrasi besar rentetan isu kelaparan petani di Baling. Ia menyebabkan Anwar menjadi antara yang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau hanya dibebaskan kira-kira 22 bulan kemudian. 


Semasa dalam tahanan, timbul keinginan untuk Anwar menyambung pengajian di peringkat Sarjana. Al-Attas mengutus surat kepada Menteri menyatakan kesediaan beliau menerima Anwar sebagai mahasiswa Sarjana. Namun, kerana sumber rujukan terhad sepanjang tahanan serta keadaan yang kurang mendorong, pengajian ini tidak dihabiskan. 


Al-Attas ada mengunjungi Anwar semasa dalam tahanan dan mengutus surat kepadanya di mana terakam pantun berikut: 


Kemunting buah pedada,

Digoncang gugur tak jadi;

Bunga tersunting di atas dada,

Jasa pagar memakan padi.


Yang dijawab oleh Anwar melalui surat balas: 


Kemunting di dalam pagar,

Mekar layu gugur sendiri;

Dengan helah pencak pendekar,

Takkan tergugat pahlawan sejati.


— 

Amin Ahmad ialah penulis buku Anwar Ibrahim: Dari Cherok To’ Kun ke Kuala Kangsar. Beliau sedang menyiapkan jilid kedua biografi Anwar Ibrahim 1967-1971 yang dirancang terbit menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025, insya-Allah.