MASAALAH BIROKRASI


Jamzuri Ardani


 Ini contoh masalah birokrasi dalam kerajaan. Minta maaf ... saya pernah berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan dan ramai pegawai kerajaan dari pelbagai peringkat. Saya akui komitmen mereka, ilmu mereka, pengalaman mereka, dan keupayaan mereka. Mereka kebanyakannya bagus ... 


TETAPI ...  besar tetapinya ...


Entah di mana silapnya ... kebanyakannya mengambil sikap play safe. Follow the book. Jangan ambil risiko. Kalau problem sapa nak jawab nanti. Kalau hasilnya bagus semua tumpang seronok, tapi bila masalah aku kena tanggung sorang-sorang. 


Ini sikap yang agak dominan di kalangan penjawat awam. Sukar untuk kita mengharap mereka meraikan 'special situation' sebab special situation pose special risk. 


Sistemnya memang begitu. Tidak ada sebab untuk penjawat awam ambil risiko walaupun untuk perkara yang baik. Lebih mudah ikut je peraturan biasa ... kalau ada isu kemudian senang nak jawab. Jika tidak nanti bos tanya, "yang ko memandai-mandai buat apa?"


Sebab itu saya tidak hairan jika birokrasi kita tidak melayan kes-kes terpencil seperti ini. Hanya 'big boss' yang berani sahaja boleh beri keputusan dalam kes-kes begini. Tapi ... tak ramai yang macam tu. 


Kebanyakan ambil sikap ..  ikut je prosedur ... senang nak jawab kalau bos tanya.

Bagaimana jika, kau disahkan menghidap kanser? Doktor bagitahu nyawa kau sudah berada di pangkal ajal, bila bila masa kau akan pergi. Adakah kau ingin mati di pangku pasangan atau kau pilih hayat kau berakhir seorang diri?


Ini tentang cinta, sepi dan perjuangan kawan saya. 





Harima Abdul Rahman. 

Cikgu Din.


Saya kenal Cikgu Din semasa di Sarawak. Dia datang lagi awal dari saya. Rezeki anak yang baru lahir barangkali, dia dapat jadi cikgu dan posting pertama dia si Kanowit, Sarawak sebagai cikgu kontrak. Tapi sekarang dah cukup perkhidmatan dan dia dah digazetkan sebagai cikgu tetap.


Dia datang masa zaman Covid dan bawak sekali anak dan isteri. Isteri dia suri rumah. Jadi senang la. Move forward, tengah tengah bahagia jalan jalan pergi Sarikei, Tatau, Kuching, Sri Aman, Miri, Samarahan, tiba tiba isteri dia jatuh tak dapat berjalan. 


Dua tiga kali ulang alik pergi hospital, cek cek rupanya isteri dia ada ketumbuhan. Scan lagi sekali, rupanya kanser isteri dia dah merebak ke paru paru. Masa tu lah baru tahu isteri dia menghidap kanser tulang rawan tahap empat (Mesenchymal chondrosarcoma left fumur). 


Benda tu sangat tiba tiba. Disebabkan anak masih kecil dan nak rawat kanser tu jauh (Hospital Sibu ke Kanowit lebih kurang dua jam perjalan), Cikgu Din ambik keputusan untuk bawa balik isteri dia ke Kelantan untuk rawatan Chemotheraphy. Anak dia pula, boleh ayah dan mak mertua dia tengok. 


Kena kanser ni kau kena kuat mental tu satu hal. Tapi kesan sampingan chemo tu satu hal lain pula. Belum tentu orang boleh hadap. Jadi Cikgu Din buat keputusan untuk ulang alik dari Sarawak balik ke Kota Bharu setiap dua minggu. Semata mata untuk teman dan bagi semangat dekat isteri dia yang tersayang. Duit. Masa. Tenaga. Semua kena korban. Sampaikan kawan saya terpaksa minta cuti tanpa gaji sebab semua cuti dah ambik. 


Segala pengorbanan yang kawan saya lakukan semata mata untuk harapan yang lebih baik. Tapi Tuhan masih menguji. 


Walaupun dah selesai satu pusingan Chemo, sel kanser pada badan isterinya masih lagi ada. Malah lebih teruk, sel kanser itu makin membesar. 


Dan itulah turning point kawan saya. 


Dah minta tukar ke Semenanjung supaya dia lebih senang menemani isterinya, tapi masih lagi belum diluluskan. Dia pergi ke Putrajaya. Dia turun sendiri drive ke Kuching untuk jumpa Pengarah Pendidikan. Tapi keputusannya tetap sama. TAK BOLEH BERPINDAH KE SEMENANJUNG untuk lebih dekat dengan isteri yang memerlukan sokongan. Alasan pegawai yang menjaga urusan pertukaran, “EgTukar hanya boleh dibuka kepada Guru Tetap yang Sudah Berkhidmat Selama Tiga Tahun.”


Apatah lagi bila dia hantar surat untuk bertukar tersebut, ada orang atasan yang berkata, “Yang sakit tu isteri awak. Awak tak sakit. Masih lagi boleh berkhidmat.”


Akhirnya kawan saya sendiri yang terkoban. Mukanya nampak tenang tersenyum. Tapi sebenarnya dia telah disahkan menghidap MDD. Mental Depression Disorder. Di Semenanjung, dia ulang alik ke Hospital menemani isterinya. Di Sarawak, dia juga ulang alik ke hospital untuk masalah kesihatannya. Malah lagi malang, walaupun dah sampai tahap ini, dia masih lagi diberi alasan, “EgTukar hanya boleh dibuka kepada Guru Tetap yang Sudah Berkhidmat Selama Tiga Tahun.”


Manusia boleh berusaha. Wal hasilnya datang dari Tuhan juga. 


Hari ini, isterinya tidak lagi diberikan chemo. Setelah dua kali rawatan chemo diberi, keputusan tetap sama. Sel kanser tidak hilang, malah makin membesar. Seterusnya Doktor tepaksa memutuskan untuk berhentikan segala rawatan aktif. Sehinggalah doktor memberi isyarat ‘tunggu masa sahaja’. 


Pada saat berita ini diputuskan. Pada saat mereka berdua menghitung hari hari terakhir isterinya di dunia, masih belum ada lagi khabar bahawa Cikgu Din dibenarkan untuk bertukar ke Semenanjung. 


Betul. 


Undang undang ialah undang undang. Tapi kita bukan haiwan.  Kita manusia yang diberikan kebijaksanaan dan juga rasa belas kasihan. Apa guna kita memamah undang undang kalau hanya untuk merobek sebuah harapan? Apa guna undang undang jika tidak menerbikan rasa ehsan?


Tiada apa yang saya mahu dari tulisan ini. Saya hanya mahu Cikgu Din berada di sisi isterinya untuk hujung hujung waktu begini. Tapi tulisan saya juga takkan merubah apa apa. Air mata mereka sudah lama kering. Harapan saya hanya bergantung kepada kawan kawan yang membaca tulisan ini. Dengan sokongan kalian, sebarkanlah kisah ini supaya dapat memberi ketumbukan kepada orang orang yang sepatutnya. 


Agar Cikgu Din dan isteri boleh bersama semula dan mampu mentitip kalimah suci sebelum segalanya berakhir.  Sebelum hanya tinggal memori, yang disulami penyesalan dan dendam. 


Sekian.