Pencuri larikan kereta dari stesen minyak di Kuantan, ditahan di Bentong.




Rakaman video tular kes seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu di sini kelmarin. - Foto tular
Rakaman video tular kes seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu di sini kelmarin. - Foto tular

KUANTAN: Seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu di sini kelmarin, berjaya ditahan di Bentong.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, yang mengesahkan penahanan itu, berkata kereta yang dicuri itu juga turut ditemui.

"Ya, suspek telah ditahan di Bentong, kereta itu sudah ditemui," katanya melalui mesej dan tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai penahanan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Bentong pada 12 tengah hari ini.

Dalam kejadian 3.10 petang kelmarin, warga emas berusia 68 tahun bersama suami, 77 dan anak perempuan yang juga pemilik kereta, 38 yang menaiki kereta singgah di stesen minyak.

Sebaik anak perempuan keluar dari kereta, suspek masuk dan melarikan kenderaan itu ketika warga emas berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Ketika itu, suami warga emas itu berada di tandas di stesen minyak itu.

Mangsa ditinggalkan kira-kira 400 meter dari stesen minyak itu tanpa kecederaan, manakala suspek terbabit terus melarikan kereta berkenaan.


No comments: