PANG ADALAH WAKIL RAKYAT ULIL AMRI, SUMBANGAN ZAINAL SAKOM JANGAN DILUPAI


Keputusan PRK Kuala Kubu Bharu sudah pun diketahui dan pelbagai pihak telah tampil dengan ulasan masing-masing mengenainya sejak malam tadi lagi.


Pihak yang menang dan menyokong calon yang menang sudah tentu dengan gaya ulasan yang gembira untuk mewajarkan kemenangan tersebut.


Yang kalah dan penyokong yang kalah pula tiada pilihan lain selain cuba mendamaikan hati sendiri dengan ulasan yang menggambarkan kekalahan tidak membawa kekecewaan, sebaliknya mengatakan kemenangan pihak yang menang bukanlah terlalu memberangsangkan.


Ada pula pihak yang kalah menyebut, mereka tidak kalah, cuma kemenangan yang tertangguh.


Begitulah adat pertandingan – ada kalah dan ada yang menang, yang menang gembira, yang kalah berduka.


Namun, proses demokrasi haruslah diterima kerana kita hidup dalam sistem yang sudah ditentukan begitu bentuknya.


Bagi PRK Kuala Kubu Bharu yang berakhir semalam, tahniah tentunya tidak lupa diucapkan kepada calon PH, Pang Sock Tao kerana telah beroleh kemenangan dan kini bergelar Yang Berhormat dalam usia yang masih muda.


Kehidupan beliau selepas ini tentunya akan berubah dalam kebanyakan perkara dan tumpuan utamanya kini ialah menyantuni pengundi KKB dengan sepenuh hati.


Jika berkerja keras daripada sekarang, tidak mustahil beberapa tahun akan datang beliau akan bergelar menteri.


Apa yang menarik dengan kemenangan Pang ini ialah beliaulah satu-satunya calon yang dijenamakan sebagai calon Ulil Amri ketika musim berkempen lagi.


Tidak pernah dalam mana-mana PRK atau PRU sebelum, baik calon Melayu atau bukan Melayu, mereka itu dijenamakan sebagai calon Ulil Amri, sambil disandarkan pula ayat Al-Quran bahawa memberi sokongan kepadanya adalah wajib.


Hanya di KKB perkara itu berlaku.


Maka, tahniah harus diberikan kepada Ustaz Zainal Sakom atas cetusan idea kempen yang dilakukannya yang diyakini sedikit-sebanyak membawa kepada kemenangan kepada Pang, khususnya dalam konteks mendapat undi daripada pengundi Melayu.


Tanpa kempen Ustaz Zainal Sakom itu yang berkempen di banyak tempat dengan hujah yang sama, kemudian tersebar lagi video ucapannya di media sosial, mungkin undi Melayu yang diperolehi Pang jauh lebih merosot.


Meski banyak yang menyanggah hujah beliau itu, yang menerima hujahnya juga pasti bukan sedikit.


Ertinya setelah menang kini, Pang daripada DAP adalah wakil rakyat Ulil Amri yang pertama di negara kita.


Tahniah kepada Pang dan syabas kepada Ustaz Zainal Sakom atas kempen berani yang dicetuskannya.


Selepas ini, jika ada lagi PRK di mana-mana dan berlaku pertembungan getir yang hampir serupa seperti seperti di KKB, maknanya Ustaz Zainal Sakom boleh didatangkan lagi untuk berkempen bagi pihak kerajaan.


Dalam hal ini, bagi pihak yang menang, dalam gembira memberi ulasan tentang kemenangan yang telah diperolehi, janganlah dilupakan sumbangan Ustaz Zainal Sakom itu.


Sebutlah namanya dalam ucapan atau bila bercakap di depan kamera serta berilah secebis penghargaan kepadanya.


Janganlah bila sudah menang, beliau dilupakan begitu saja dan menjadi seorang lagi watak wira yang tak didendang. – ShahbudinHusin 12Mei2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/12/pang-adalah-wakil-rakyat-ulim-amri-sumbangan-zainal-sakom-jangan-dilupai.html




No comments: