Dzolkarnain
Ada Melayu tak mahu Cina atau India masuk universiti khusus untuk Melayu (baca Bumiputera) untuk jadi pakar perubatan.
Untuk belajar ijazah pertama perubatan pun tak boleh. Kursus selain perubatan, lagilah tak boleh.
Kenapa tak boleh? Sebab universiti ini untuk Melayu saja. Kenapa untuk Melayu saja? Sebab Melayu masih ketinggalan.
Kenapa Melayu masih ketinggalan? Sebab tak ramai Melayu lulus cemerlang tertinggi (A+) semua subjek aliran sains tulin.
Jadi, kalau Cina atau India lulus cemerlang tertinggi semua subjek sains tulin, mereka tak boleh masuk juga universiti khusus itu? Tak boleh!
Kenapa tak boleh? Sebab universiti itu untuk Melayu saja. Kenapa untuk Melayu saja?
Jawapannya sama macam tadi juga. Soalan dan jawapan berulang-ulang begitu sampai kiamat. Melayu pun begitu begitulah juga sampai kiamat.