Sekurang-kurangnya ada dua aspek yang dipertikaikan berhubung kontrak pengangkutan dengan kerajaan negeri Selangor yang diperolehi oleh syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang sejak kebelakangan ini menjadi isu hangat dalam negara.
Pertama, selain Ahli Parlimen DAP Segambut itu sekarang ini merupakan anggota kabinet kerajaan madani pimpinan pejuang unggul reformasi, Anwar Ibrahim, beliau juga sebelum ini adalah Speaker DUN Selangor.
Dengan kontrak yang diperolehi suaminya itu, ia menimbulkan persoalan tentang kemungkinan wujudnya layanan keutamaan atau konflik kepentingan berhubung pemberian kontrak berkenaan.
Kedua, kontrak itu diperolehi bukan dengan cara tender terbuka, tetapi secara runding terus.
Sudah menjadi pengetahuan umum, antara umpan PH untuk menarik sokongan rakyat sejak bertahun-tahun dahulu ialah menjanjikan tender terbuka dalam semua kontrak kerajaan bagi memastikan ketelusan, keadilan dan mengelakkan ketiriaan.
Jadi, mengapa sekarang ini syarikat milik bersama suami seorang menteri PH dan bekas Speaker DUN Selangor boleh diberikan kontrak secara runding terus?
Hakikatnya, apa yang berlaku dalam isu yang sedang menjadi buah mulut rakyat ini, ia secara langsung menyebabkan wajah PH terconteng arang hitam yang tebal lagi pekat.
Di mana PH mahu letak mula apabila dengan selamba saja memungkiri janjinya sendiri?
Untuk itu, terdapat dua tindakan segera yang boleh dilakukan untuk memadamkan api kemarahan rakyat dalam kontrak tersebut.
Pertama, kerajaan negeri Selangor hendaklah membatalkan serta-merta kontrak pengangkutan yang telah diberi kepada syarikat milik bersama suami Hannah Yeoh itu.
Kontrak berkenaan sebaliknya harus ditender semula secara tender terbuka dan syarikat milik bersama suami Hannah Yeoh itu boleh menyertainya semula dan sama-sama bersaing secara sihat.
Yang kedua dan ini paling terpuji, suami Hannah Yeoh sendiri dengan sukarela tampil mengembalikan kontrak yang telah diperolehinya itu kepada kerajaan negeri Selangor.
Pengembalian kontrak itu bukan saja untuk menjaga nama baik PH, malah untuk mengelakkan nama isterinya, seorang menteri dalam kabinet kerajaan madani yang sebelum ini banyak dipuji daripada terus menjadi cecehan rakyat.
Sama seperti saranan pertama di atas, setelah kontrak dikembalikan, maka tender semula hendaklah dilakukan dengan segera.
Jangan berdiam diri saja ketika isu ini sedang panas dan jangan juga berlengah lagi daripada bertindak.
Salah satu pihak terbabit mesti mengambil tindakan yang segera.
Ingatlah, rakyat sentiasa memerhati dan jika tidak segera ditangani, ia boleh membawa kemusnahan sebuah kerajaan dalam PRU16 akan datang.
Yang terdekat, kalau dibiarkan tanpa apa-apa tindakan, bencana juga boleh berlaku dalam PRK DUN Sungai Bakap yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Jangan ingat menang di Kuala Kubu Bharu sudah boleh berasa selesa, ingatlah undi PH tidak banyak bertambah pun, malah undi Melayu dan undi orang muda masih memihak sebelah sana. – ShahbudinHusin 29Mei2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/05/29/jangan-lupa-selain-sekarang-menteri-hannah-yeoh-juga-adalah-speaker-dun-selangor-sebelum-ini.html