SUDAH SAMPAI MASANYA PEMIMPIN PERLU DIBERI KURSUS BERCAKAP



Apakah yang boleh kita pelajari daripada cadangan makan ubi yang dilontarkan oleh Speaker Parlimen baru-baru ini?


Paling jelas, ia meunjukkan tidak semua pemimpin itu cerdik yang hanya mengeluarkan “mutiara” daripada kata-kata pengucapan mereka.


Ini bukan kali pertama pemimpin di negara kita ini memuntahkan “sampah” daripada mulut mereka.


Hampir setiap masa, ada saja kedapatan cakap pemimpin yang memualkan telinga mendengarnya lantaran kata-kata ucapan mereka itu langsung tidak selari dengan keinginan serta keperluan rakyat.


Tidak perlu disebut satu persatu contohnya kerana ia terlalu banyak kalau mahu dikutip jika kita rajin memeriksanya di arkib internet dengan bantuan enjin carian “google”.


Di era kerajaan mana sekali pun, pasti ada pemimpin yang seperti itu.


Tidak terkecuali yang kerap mengeluarkan “sampah” itu termasuk pemimpin yang bergelar menteri yang gaji mereka dibayar lumayan daripada tabung perbendaharan negara melalui kutipan cukai yang diambil daripada poket rakyat miskin dan golongan B40.


Sebab itu, bila ada pemimpin bercakap “sampah” dan merapu, netizen tidak menunggu lama untuk membelasah mereka.


Hakikatnya, rakyatlah yang membayar gaji pemimpin itu dan rakyat adalah majikan kepada pemimpin.


Sebagai pemimpin, mereka yang berkenaan, selain harus menunjukkan kualiti dalam bekerja untuk rakyat, cadangan yang ingin dikemukakan pula biarlah yang munasabah dan dapat menyejukkan telinga siapa yang mendengarnya.


Kalau hanya “sampah” yang mampu diluahkan, lebih baik diambil tukang angkat sampah jadi pemimpin.


Sebelum bercakap mesti guna akal lebih dulu, jangan mulut lebih laju daripada akal berfikir.


Lebih baik bercakap yang biasa-biasa dan tidak ekstrem asalkan terlihat rasional daripada bercakap yang bukan-bukan dan merapu, bahkan didapati bertaraf sampah saja.


Dalam cadangan makan ubi kayu sebagai ganti nasi misalnya, ia terlihat “sampah” kerana selain tiada ladang ubi kayu yang luas di negara kita untuk menampung keperluan, harganya juga jauh lebih mahal daripada beras.


Dengan itu, di mana logiknya cadangan Speaker itu yang rasanya gaji beliau juga agak lumayan melalui jawatan tersebut.


Nak bagi cadangan alternatif, apa yang harus difahami oleh mereka yang bergelar pemimpin ialah benda yang dicadangkan itu mestilah lebih murah daripada harga beras yang dimakan ruji selama ini.


Mendepani hal ini, lantaran dipercayai akan terus berlaku pemimpin bercakap yang bukan-bukan dan bertaraf “sampah” selepas ini, sudah sampai masa sebenarnya untuk mereka diberi kursus dalam bercakap, apa yang perlu dicakap, bila masa perlu bercakap, bila masa perlu diam dan yang penting sekali, mesti sentiasa berfikir dahulu sebelum bercakap.


Sesuai dinamakan pemimpin, mereka mesti bercakap yang baik-baik, membina, ada logik dan mampu memberi harapan kepada rakyat.


Dengan itu, barulah kehadiran mereka itu berguna kepada rakyat serta sesuai dengan gaji mahal yang dibayar kepada mereka.


Jika tidak, rakyat sendiri akan melihat pemimpin tidak ubah seperti “sampah”. – ShahbudinHusin 07/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/08/sudah-sampai-masanya-pemimpin-perlu-diberi-kursus-bercakap.html