BENARKAH NAJIB DITITAH UNTUK DIBERI TAHANAN RUMAH MELALUI LEMBAGA PENGAMPUNAN?

 


Benarkah Najib Razak diberi tahanan rumah oleh Lembaga Pengampunan dalam keputusannya pada 29 Januari lalu?

Sejak semalam ramai yang membangkitkan persoalan ini berikutan Najib, melalui peguamnya kini memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap titah adendum atau tambahan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Mahkamah Tinggi.

Semakan kehakiman difailkan pada 1 April lalu,menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co.

Dalam permohonannya, Najib mendakwa bahagian tambahan atau titah adendum dalam pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Januari ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pembangunan adalah dengan membenarkannya untuk menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun melalui tahanan di rumah.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah untuk semua atau salah seorang responden melaksanakan titah Al-Sultan Abdullah itu dan dengan serta merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya.

Bekas Perdana Menteri itu kemudian akan menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah jika titah adendum berkenaan wujud.

Najib juga memohon satu perintah supaya semua atau seorang responden memberi salinan titah utama dan adendum yang dititahkan Al-Sultan Abdullah pada 29 Januari lalu.

Beliau memaklumkan melalui surat bertulis kepada Al-Sultan Abdullah pada 25 Mac lalu, mengenai niatnya memfailkan notis permohonan semakan kehakiman terhadap pihak berkuasa yang relevan berkenaan titah terbabit.

“Ia kerana pada 29 Januari 2024, Tuanku Al-Sultan Abdullah adalah Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan saya mengambil langkah sebagai rafak sembah hormat tertinggi saya.

“Pada tarikh sama (25 Mac 2024), saya turut memaklumkan perkara sama kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai rafak sembah hormat tertinggi saya memgenai perkara yang sema,” katanya menerusi afidavit permohonan tersebut.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Pada 7 Mac baru-baru ini, ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mahu kerajaan memberi penjelasan berkaitan rayuan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Ismail berkata, beliau difahamkan rayuan berkenaan sudah dimasukkan dalam rayuan kepada Lembaga Pengampunan yang bersidang sebelum ini.

“Saya difahamkan pekara ini ada sebagai lampiran dalam petisyen permohonan rayuan tersebut. Jadi soalan saya apakah ini benar atau tidak?

“Kalau ia benar, adakah ia dibincangkan semasa pembentangan rayuan tersebut dan apakah keputusannya?”soal beliau.

Persoalan utama di sini, jika benar Najib diberi hukuman tahanan rumah melalui titah Agong ke-16 selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan, mengapa ia tidak diumum dan dilaksanakan?

Soal kita setuju atau tidak Najib diberi tahanan rumah, ia adalah soal lain, tetapi yang penting adalah titah adendum oleh seorang Yang di-Pertuan Agong? 

Siapakah yang begitu berani menyembunyi dan tidak melaksanakan titah Agong itu? ShahbudinHusin 04/04/2024.

 


No comments: