TAK MASUK AKAL NAK BUNUH RAKAN SENEGARA DARI ISREAL KERANA MASALAH KELUARGA, TAPI GUNA ENAM PISTOL DAN 200 PELURU


Pertama sekali diucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM kerana berjaya menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.


Menurut Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, suspek berusia 36 tahun itu masuk ke Malaysia dengan menggunakan pasport Perancis.


Katanya, siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia datang ke negara ini untuk mencari dan membunuh rakan senegaranya dari Israel kerana masalah keluarga.


“Lelaki berkenaan telah masuk ke negara ini pada 12 Mac lalu melaui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA).


“Dia duduk di dua, tiga hotel sebelum ini,” katanya.


Razarudin memberitahu, pihak polis telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek bermula 27 Mac lalu hingga 31 Mac depan.


Beliau berkata lagi, suspek telah membeli kesemua senjata dan peluru yang dimilikinya itu dengan menggunakan wang crypto.


Ada beberapa persoalan meragukan berdasarkan siasatan awal polis terhadap penahanan lelaki warga Israel itu.


Pertama, bagaimana lelaki Israel itu begitu mudah dapat membeli sehingga enam pistol dan 200 peluru di negara ini?


Tidak mustahil ada rangkaian lain, mungkin di Israel, yang menghubungkannya dengan pihak yang menjual senjata itu di Malaysia.


Tidak mungkin dia yang baru sampai ke negara ini boleh begitu mudah berurusan untuk membeli senjata dan peluru dengan jumlah sebanyak itu.


Kedua, langsung tidak masuk akal pengakuan lelaki Israel itu bahawa kedatangannya ke negara ini adalah untuk membunuh rakan senegaranya kerana masalah keluarga.


Jika hanya seorang lelaki yang ingin dibunuh kerana masalah keluarga, kenapa perlu membeli sampai enam pistol dan 200 peluru?


Untuk membunuh seorang lelaki biasa, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru sudah memadai.


Ketidakmunasabahan ini menyebabkan pengakuan lelaki itu tertolak dengan sendirinya.


Ketiga, tidak munasabah kedatangannya ke negara ini untuk membunuh rakan senegaranya daripada Israel yang dikatakan berada di negara ini.


Persoalannya, mana mungkin warga Israel boleh ada di Malaysia kerana kita tidak mempunyai hubungan diplomatik, malah menguatkuasakan larangan kedatangan warganya ke Malaysia.


Keempat, oleh kerana lelaki Israel itu memiliki enam pistol dan 200 peluru, adalah dipercayai dia mempunyai beberapa rakan kumpulannya yang masih bebas berkeliaran di negara ini.


Dengan dipercayai berkumpulan sebegitu, adalah tidak masuk akal yang ingin dibunuh hanya seorang rakan senegaranya atas masalah keluarga semata-mata.


Beliau dipercayai ada agenda lain yang lebih besar yang hanya menunggu masa untuk melakukannya.


Dalam hal ini, sebagaimana dimaklumkan oleh Razarudin, adalah tepat sekali bila mana pihak polis mengambil pendirian tidak mempercayai pengakuan lelaki Israel itu.


Pihak polis kini akan terus menjalankan siasatan menyeluruh terhadap lelaki Israel itu untuk mengetahui motif kedatangannnya dan tujuannya memiliki sejumlah senjata serta peluru yang dirampas daripadanya.


Serentak dengan itu, pihak polis juga mula mengambil sikap berwaspada tentang keselamatan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan beberapa VVIP yang lain.


Sekali lagi, tahniah serta syabas kepada PDRM dan mengetatkan lagi aspek keselamatan kepada VVIP negara ini, khususnya Perdana Menteri yang diketahui lantang bersuara dalam isu Palestin, adalah langkah paling wajar sekali. – ShahbudinHusin 30/03/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/03/30/tak-masuk-akal-nak-bunuh-rakan-senegara-kerana-masalah-keluarga-dengan-guna-enam-pistol-200-peluru.html