Isu sebut Kafir atau Bukan Muslim hanyalah isu memilih panggilan bersesuaian dalam kehidupan seharian, tidak timbul langsung sebenarnya isu melarang daripada guna perkataan yang diguna oleh al-Quran. Pihak yang menuduh sedemikian terang-terang sedang memanipulasi isu dan bersungguh-sungguh mahu menuduh lawannya meninggalkan ungkapan al-Quran, padahal Al-Quran sendiri TIDAK HANYA menggunakan perkataan kafir dan sebanding dengannya seperti kafirun dan kuffar setiap kali merujuk kelompok bukan Muslim.
Bahkan, dalam al-Quran, ada ayat-ayat yang memanggil mereka sebagai “wahai ahli kitab” dalam cukup banyak ayat seperti dalam surah Ali ‘Imran: 64, 65, 70, 71, 98 dan 99, dan surah al-Nisa’: 15, 19, 59, 68 dan 77.
Selain itu, al-Quran juga mengandungi ayat yang berbicara kepada semua termasuk orang kafir dengan memanggil mereka “wahai manusia”. Contohnya dalam surah al-Baqarah: 21, 168 dan 264, dan al-Nisa’: 1, 170 dan 174.
Al-Quran juga memanggil secara umum termasuk bukan Muslim dengan sebutan “wahai anak Adam” sebagaimana dalam surah al-A’raf: 26, 27, 31, 35 dan 172. Di sesetengah ayat, al-Quran merujuk kepada manusia termasuk bukan Muslim sebagai “wahai para hamba-Ku” seperti dalam surah al-Zumar, ayat 53.
Malah, menurut al-‘Allamah Yusuf al-Qaradawi rahimahullah, al-Quran tidak menyebut perkataan “wahai orang kafir” melainkan dalam dua ayat sahaja iaitu surah al-Tahrim, ayat 7 dan surah al-Kafirun.
Penggunaannya dalam surah al-Tahrim, ayat 7 adalah dalam konteks bicara Allah kepada golongan kafir di akhirat. Manakala perkataan “wahai orang kafir” dalam surah al-Kafirun pula ditujukan kepada golongan musyrik penyembah berhala yang sedang membuat tawaran kepada Rasulullah SAW untuk mereka menyembah berhala satu tahun dan kemudian menyembah Allah pada tahun yang lain.
Surah al-Kafirun mahu menolak tawaran ini dengan gaya bahasa yang tegas dan arahan yang nyata tanpa sebarang kompromi. Lantas, baginda diperintahkan agar berbicara kepada mereka dengan muktamad termasuk dengan mengulang dan mempertegas. Meskipun begitu, surah ini tetap diakhiri dengan ayat yang membuka pintu toleransi kepada bukan Muslim iaitu “Bagi kamu agamamu, bagiku agamaku.”
Malah, kata al-Qaradawi lagi dalam karangan beliau yang berjudul Khitabuna Al-Islami fi ‘Asr al-‘Awlamah:
“… Termasuk dalam makna berdakwah dengan hikmah dan mau’izah hasanah (pengajaran yang baik) dan berdebat dengan cara terbaik yang menjadi tuntutan kepada orang Islam khususnya pada zaman globalisasi ini adalah untuk tidak berbicara dengan pihak yang berbeza agama dengan kita dengan panggilan nama al-Kuffar (wahai golongan kafir) walaupun sememangnya kita beriktikad dengan kekufuran mereka. Apatah lagi jika pihak yang berbeza dengan kita itu adalah dari kalangan Ahli Kitab.”
Timbul pula dakwaan bahawa tindakan ini bererti menjaga hati orang kafir dan tindakan mengalah kepada mereka. Namun al-‘Allamah al-Qaradawi membantah dakwaan itu dengan menjawab:
“Saya tidak faham mengapa bentuk ucapan yang sopan santun begini dianggap sebagai “mengalah” dari pihak kita? Apa sebenarnya yang kita telah mengalah? Kita tidak sesekali mengalah dari segi iktikad bahawa agama kita adalah agama yang benar dan selainnya adalah batil. Kita juga tidak mengalah dari pegangan kita bahawasanya mereka yang tidak beriman dengan risalah Baginda Nabi Muhammad SAW adalah kafir. Inilah pegangan golongan beragama yang meyakini bahawa agamanya adalah benar, manakala selainnya adalah batil. Tidak sempurna iman seseorang melainkan dengan keyakinan ini.
Namun demikian, berbicara dengan pihak yang berbeza agama dengan kita dengan panggilan yang menyakiti mereka, mencederakan perasaan mereka atau menjauhkan mereka dari agama Allah adalah satu isu yang berbeza. Allah SWT tidak menuntut pun kita untuk berbicara sedemikian, sebaliknya Allah SWT mengarahkan kita dengan arahan yang sepenuhnya berbeza.” (Al-Qaradawi, Yusuf, Khitabuna Al-Islami fi ‘Asr al-‘Awlamah, hlm. 44-45)
Maksudnya, dalam berinteraksi dengan mereka, Allah mengarahkan kita agar berbicara dengan penuh hikmah, pengajaran yang baik dan jika berdebat pula, perdebatan itu berlaku dengan cara terbaik. Malah, panggilan yang baik juga sebenarnya sesuai dengan fitrah kita.
Oleh itu, di tanah air kita, panggilan bukan Muslim sudah digunakan secara meluas, malah kumpulan Islam yang kononnya bertegas dengan isu ini juga menggunakan perkataan “Bukan Muslim” semasa merujuk anggota dan penyokong mereka dalam kalangan bukan Muslim.