HANYA 17% RAKYAT MALAYSIA MENDAFTAR PADU – APA SUDAH JADI?



SEHINGGA setakat jam 11.59 malam Sabtu lalu, dilaporkan hanya 5.22 juta rakyat Malaysia telah berdaftar kepada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ini adalah hanya sekitar 17.3% daripada 30.08 juta jumlah keseluruhan rakyat Malaysia dan adalah angka yang agak rendah lebih dua bulan sejak dilancarkan pada bulan Januari lalu.

Jumlah pendaftaran yang rendah menjadi isu kerana data yang dikumpul akan digunakan untuk penyampaian subsidi tersasar serta pelbagai lagi inisiatif kerajaan.

Antara rungutan yang didengari ialah ia tidak cukup mesra pengguna yang berusia dan sistem pengesahan identiti yang perlahan.





 Kerisauan orang ramai mengenai sebuah pangkalan data utama yang menyimpan semua maklumat juga gagal diredakan oleh pihak PADU.

Pelbagai kes ketirisan data sebelum ini tidak diambil serius oleh pihak berwajib dengan tiada pihak dikenakan tindakan membuatkan kepercayaan orang ramai akan keselamatan data di Malaysia agak rendah.

Tindakan menutup mulut tanpa sebarang kenyataan rasmi membuatkan kepercayaan ini semakin terhakis.

Jika PADU ingin berjaya, usaha yang lebih giat untuk menguar-uarkan kelebihan mendaftar harus dilakukan.

Laporannya di sini – https://www.astroawani.com/berita-malaysia/padu-hanya-17-penduduk-malaysia-daftar-setakat-ini-462773

Apa sudah jadi dengan PADU?

Mengapa begitu rendah rakyat yang mendaftar dengannya?

Apakah rakyat Malaysia tidak mahu subsidi bersasar?

Adakah ini suatu isyarat mereka inginkan subsidi seperti sedia ada – kaya atau miskin sama-sama merasa?

Dan benarkah keengganan ramai mendaftar dengan PADU kerana bimbang data peribadi mereka bocor atau diselewengkan?

Jika begitu, kenapa tidak dilipatgandakan usaha meredakan kebimbangan rakyat mengenainya?

Selain itu, mengapa sejak kebelakangan ini sudah tidak begitu agresif promosi dan gerakan pendaftaran PADU?

Paling dibimbangi, mungkinkah peratusan yang rendah ini petanda rakyat sudah mula tidak menyukai lagi kerajaan madani ini?

Apakah mungkin PADU bakal menemui kegagalan sebelum sempat fungsinya berperanan? – ShahbudinHusin18/03/2024.