10,000 rumah mampu milik Residensi MADANI, Wilayah dibina di Putrajaya



Kerajaan akan membangunkan 10,000 unit kediaman mampu milik Residensi MADANI dan Residensi Wilayah di Putrajaya bermula tahun ini.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kediaman berharga di bawah RM300,000 untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana itu dijangka siap pada 2027.



"InshaAllah, di Putrajaya, projek ini akan dibangunkan di pelbagai Presint dengan sasaran melebihi 10,000 unit yang akan mula dibina bermula tahun 2024 dan siap pada tahun 2027," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.



Terdahulu Zaliha mengadakan perbincangan dan mendengar sendiri isu dan ketersediaan pemaju bagi memulakan projek perumahan Residensi MADANI dan Residensi Wilayah yang akan dibangunkan di Putrajaya.



Zaliha berkata pembangunan kedua-dua jenis residensi itu akan memberi manfaat kepada golongan sasar melibatkan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman.



"Ini adalah salah satu usaha peningkatan darjat hidup rakyat di bawah kluster Program Usaha Jaya Insan (PUJI) melalui inisiatif Lindung @ PUJI," katanya.