Kerajaan akan membangunkan
10,000 unit kediaman mampu milik Residensi MADANI dan Residensi Wilayah di
Putrajaya bermula tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, kediaman berharga di
bawah RM300,000 untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana itu dijangka
siap pada 2027.
"InshaAllah, di Putrajaya,
projek ini akan dibangunkan di pelbagai Presint dengan sasaran melebihi 10,000
unit yang akan mula dibina bermula tahun 2024 dan siap pada tahun 2027,"
katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu Zaliha mengadakan
perbincangan dan mendengar sendiri isu dan ketersediaan pemaju bagi memulakan
projek perumahan Residensi MADANI dan Residensi Wilayah yang akan dibangunkan
di Putrajaya.
Zaliha berkata pembangunan
kedua-dua jenis residensi itu akan memberi manfaat kepada golongan sasar
melibatkan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki
kediaman.
"Ini adalah salah satu
usaha peningkatan darjat hidup rakyat di bawah kluster Program Usaha Jaya Insan
(PUJI) melalui inisiatif Lindung @ PUJI," katanya.