Oleh: Noraini Nordin
ANALISIS: Konvensyen
Kerajaan Perpaduan peringkat negeri Perak semalam telah berlangsung dengan
jayanya dan boleh dikira mencapai matlamat yang disasarkan.
Bukan saja isu mengukuhkan lagi
perpaduan menjadi tema utama perbincangan sepanjang konvensyen, bahkan ucapan
empat pemimpin utama di majlis penutup jelas memperlihatkan bukan sahaja
perpaduan itu mesti diperkukuhkan, bahkan kewujudan Kerajaan Perpaduan itu
sendiri mesti dikekalkan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri
Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata, perpaduan yang semakin kukuh kini
menunjukkan Kerajaan Perpaduan semakin diterima rakyat di seluruh negara.
Tambahnya, ia malah turut
mendapat dukungan yang padu daripada Sabah dan juga Sarawak.
Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal
Serentak itu, beliau yang juga
Pengerusi PH mengingatkan agar mereka yang masih cuba mahu menjatuhkan kerajaan
agar dapat menerima hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan ini akan kekal sehingga
habis penggal.
Selain itu, tegasnya, perpaduan
dalam kerajaan yang makin utuh turut menyebabkan Ahli ahli Parlimen blok
pembangkang sendiri tidak lagi meyakini gabungan mereka.
Dengan itu, Anwar tidak menolak
ada beberapa lagi Ahli Parlimen blok pembangkang akan tampil memberi sokongan
kepada Kerajaan Perpaduan pada waktu terdekat.
Timbalan Perdana Menteri
merangkap Pengerusi BN pula berkata, melalui perpaduan yang perlu diselaraskan
untuk mencapai matlamat yang sama, apa jua konflik dan perbezaan pendapat akan
dapat diatasi dengan mudah.
Sebab itu, penting agar
diwujudkan keserasian dan perpaduan bukan saja dalam kalangan pucuk pimpinan,
tetapi juga hingga ke peringkat akar umbi.
"Keikhlasan dan keserasian
mewujudkan perpaduan inilah yang diwujudkan di Perak di mana kepimpinan BN dan
PH sentiasa bekerjasama mensejahterakan negeri ini.
"Lihat sahaja dapatan
ekonomi di Perak yang telah berjaya mengutip hasil negeri sebanyak RM1.21
bilion bagi tahun 2023 dan ini merupakan angka tertinggi dalam sejarah negeri,"
jelasnya lagi.
Pengerusi PH Perak, Senator Dr
Mujahid Yusof Rawa pula menyatakan, setelah Kerajaan Perpaduan terbentuk, apa
yang perlu dilakukan ialah menjadikan gelombang perpaduan lebih besar lagi
menyebar ke seluruh negara.
Perpaduan lambang kekuatan
Katanya, selain perpaduan
adalah tuntutan agama, ia juga merupakan lambang kekuatan, sementara perpecahan
adalah kelemahan.
"Kesejahteraan dan
hubungan kedamaian juga adalah impian setiap manusia dan untuk menuju ke arah
itu, ia harus dimulakan dengan perpaduan," ujarnya.
Pengerusi BN Perak merangkap
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pada itu mengingatkan
bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak terbentuk dengan mudah.
"Ia terdiri hasil hasil
komitmen dan pengorbanan jitu pendukung kedua-dua gabungan iaitu BN dan PH
untuk mengenepikan segala perbezaan dan merangkul semua persamaan demi masa
depan negara," katanya.
Untuk itu berikutan penerimaan
baik daripada rakyat terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan, katanya, ia mesti
dikekalkan dengan sentiasa mengukuhkan lagi perpaduan sesama komponen.
Yang nyata, semua yang hadir
tidak pulang dengan tangan kosong sebaik konvensyen berakhir.
Daripada ucapan dan penegasan
pimpinan yang memberi pesan, ia mengukuhkan lagi perpaduan untuk mempertahankan
kerajaan.
______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat