KETAWA KETERLALUAN BUKAN SIFAT MUKMIN(ORANG BERIMAN)
Ibn Mas'ud meriwayatkan daripada Auf bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW tidak tertawa melainkan tersenyum simpul dan tidak suka menoleh kecuali dengan semua wajahnya.
Hadis itu menunjukkan bahawa senyum adalah sunat dan tertawa berbahak-bahak adalah makruh. Maka dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat, orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga.
Menurut Yahya bin Muaadz ar-Razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seorang Mukmin iaitu,
1. kerana memikirkan akhirat,
2. kesibukan mencari keperluan hidup,
3. risau memikirkan dosa,
4. tibanya musibah dan bala.
>Banyak ketawa bukan sifat Mukmin<
Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang Mukmin.
Diriwayatkan oleh Ibn Abbas, "Sesiapa yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis ketika akan masuk neraka."
Sabda Rasulullah SAW: "Dan siapa yang meninggalkan senda gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan tertawa, maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka ia dicintai."
Menurut riwayat daripada Ibrahim Annakhari, katanya,
"Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah SWT murka padanya lalu murka Allah SWT itu merata kepada orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya.
Jika seseorang yang berkata kalimah yang diredai oleh Allah SWT, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah SWT itu diperoleh juga oleh orang di sekitarnya."
Sabda Rasulullah SAW: "Neraka wail itu buat orang yang bercakap dengan berdusta dan berolok-olok supaya menimbulkan tertawa pada orang ramai, dan neraka wail itu untuk dia."
Kalimah 'neraka wail itu untuk dia' diulang sebanyak dua kali, membuktikan tegas dan kuatnya amaran terhadap orang yang suka bergelak tertawa serta berjenaka.
Islam memberi peringatan semakin kuat hilai tawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan menari-nari untuk melalaikan dia.😭
Rasulullah SAW apabila ketawa hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai atau terkekeh-kekeh. Justeru, hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya.
Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana kerana kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.
Penulis adalah Penyampai dan Penerbit Kanan IKIM
Sumber : Berita Harian