Konsert di antara dakwah dan politik kepartian



Abu Mishkat


1. Konsert adalah sejenis pesta keramaian untuk tujuan hiburan. 




2. Islam tidak mengharamkan hiburan kerana semata-mata ia hiburan. Tiada sepatah ayat atau hadis yang sahih menyatakan hiburan itu haram. 


3. Memang ada hadis yang mengharamkan muzik, lantas ada segelintir ulama menfatwakan muzik itu haram. Namun menurut Ibn Hazm, tiada satu pun hadis yang mengharamkan muzik itu selamat daripada kritikan sanadnya - tidak sahih. 


4. Sebaliknya ada hadis sahih Rasulullah SAW melayani keinginan isterinya Aisyah RA menonton perlawanan main pedang kaum Habsyi. Aisyah kata dia meletakkan dagunya di atas bahu Rasulullah SAW sambil menonton permainan itu sehingga puas. 


5. Ada juga hadis Abu Bakr cuba menghalang orang-orang Ansar daripada menyanyi pada hari perayaan kerana memghormati kehadiran Rasulullah SAW. Namun baginda menegur Abu Bakr supaya jangan menghalang orang-orang Ansar berhibur pada hari libur. 


6. Maka hiburan semata-mata tidak haram, bahkan ia termasuk keharusan yang menjadi nikmat yang halal untuk manusia. 


7. Hiburan menjadi haram jika di dalamnya terdapat perkara haram yang jelas seperti orang Islam minum arak secara terbuka, atau percumbuan lelaki perempuan dan seumpamanya. 


8. Pergaulan bebas semata-mata perlu didefinisikan jika ia mahu dikadikan alasan pengharaman konsert. Di pasar malam, stadium, shopping mall semuanya ada pergaulan bebas. Adakah semua tempat itu wajib ditutup? 


9. Ramai ustaz/zah selebriti dan para pengikut Pas penuh yakin mengatakan konsert itu haram, khususnya konsert Coldplay. Mungkin mereka baru temui dalil haram sejak menjadi pembangkang setahun yang lalu. 


10. Mereka sangat ekstrim dalam melontarkan pendapat. Setelah mereka ekstrim mengharamkan apa yang Allah SWT diamkan (  ما سكت عنه الشارع  ), mereka juga ekstrim menghukum siapa yang tidak sependapat dengan mereka. 


11. Maka ramailah yang mendoakan hadirin konsert ditimpa bala bencana dan mati semua.  Rasulullah SAW sang empunya dakwah pun tidak pernah berdoa untuk kemusnahan umatnya. Umatnya yang cuba membunuhnya pun didoakan supaya mendapat hidayah. 


12. Hanya iblis dan syaitan yang berharap manusia mati dalam maksiat dan masuk mereka. 


13. Tiba-tiba gempar di Bachok dan Kg. Kemuchup, Machang ada konsert lebih liar daripada konsert Coldplay! 


14. Ustaz/zah selebriti masih berdiam diri dengan konsert lagu ghairah jantan dengan iringan muslimah-muslimah bertudung berjoget gedik-gedik. Mereka juga masih bisu dengan penyanyi-penyanyi wanita Siam berpakaian seperti bikini di atas pentas konsert dalam negeri Membangun Bersama Isley. 


15. Sekarang pemimpin Pas dalam kepayahan mencipta alasan demi alasan untuk mewajarkan konsert di Kelantan. 


16. Itulah akibat hukum dibuat mainan politik. Apa yang Allah tak nyatakan haram, mereka kata haram. Kesalahan mengharamkan apa yang syarak diam itu pun dah dosa besar, lebih besar daripada syirik, menurut Imam Ibn al-Qayyim dalam kitab I'lam al-Muwaqqi'in fasal Maratib al-Muharramat (tingkat-tingkat perkara haram), berdasarkan surah al-A'raf ayat 33.


17. Sekiranya ulama dan ustaz/zah dalam Pas mengaji ilmu agama bersungguh-sungguh dan keulamaan mereka terakreditasi, sudah tentu mereka tahu dalam agama ini ada perkara yang dimaafkan kerana 'Umum al-Balwa, iaitu perkara haram atau kotor sedikit yang sukar dielakkan oleh manusia. 


18. Malangnya dalam Pas ramai yang semangat politik Islamnya tinggi, tetapi ilmunya nampak terlalu simplistic dan judgemental. 


19. Tidak banyak beza mereka dengan puak Khawarij zaman dahulu, yang ibadat solat, puasa, qiamullail mereka sangat hebat, malu kita jika nak bandingkan dengan ibadat kita, tetapi kefahaman mereka terhadap ajaran al-Quran tidak melepasi anak tekak. 


20. Tuntasnya, teguran terhadap penganjuran konsert yang sepatutnya berada dalam daerah da'wah bil hikmah, telah dirosakkan oleh Pas yang berkiblat politik kepartian ala Khawarij. Akhirnya bala yang yang didoakan menimpa kepala mereka sendiri.



No comments: