GHAIRAH BENAR NAMPAKNYA TUAN IBRAHIM NAK JADI KERAJAAN SEMULA….


Dua hari lalu, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man ada menyebut, perwakilan ke Muktamad Pas tahun ini tidak dihalang daripada membahaskan sebarang isu, termasuk tawaran menyertai kerajaan perpaduan.


Katanya, Pas mengamalkan sikap terbuka dan tidak berhasrat melakukan sebarang sekatan.


Tetapi, nampaknya sebelum masa untuk perwakilan berucap tiba, Tuan Ibrahim sendiri yang lebih dulu terghairah bercakap mengenai perkara itu.


Adakah ini menunjukkan beliau mahu isu perlunya Pas berada dalam kerajaan dijadikan topik utama dalam muktamar kali ini?


Berucap di Muktamar Pemuda PAS yang ke-64 di IDCC Shah Alam malam tadi, Tuan Ibrahim menyifatkan Pas kini telah mencapai kemenangan, walaupun tidak menerajui kerajaan.


“Waktu kita ada 18 kerusi (Parlimen) kita jadi kerajaan. Waktu kita berada di kerusi yang besar (PRU15) kita di pembangkang.


“Ini di antara tanda-tanda hampirnya kiamat.


“Patut waktu kita banyak kerusi kita duduk dalam kerajaan,” katanya lagi.


Begitu pun, bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu menyuarakan keyakinan bahawa PAS akan kembali menjadi sebahagian parti yang akan memerintah Putrajaya dalam tempoh tidak berapa lama lagi.


Menurut beliau, pemimpin luar negara yang menemuinya juga turut menyuarakan keyakinan bahawa masa depan negara terletak di fangan PAS dan PN.


“Kita punyai peluang menerajui kerajaan persekutuan dalam tempoh tidak berapa lama lagi,” tambah beliau.


Dalam hal ini, bagaimana Pas mahu berada kembali dalam kerajaan?


Adakah dengan bersama PH/BN/GPS/GRS dalam kerajaan perpaduan yang ada sekarang?


Atau Pas ingin menebuk atap sekali lagi?


Tetapi, kenapa Tuan Ibrahim saja yang nampaknya cepat tercuit hati untuk bercakap mengenai keberadaan Pas dalam kerajaan ini, manakala pimpinan Pas lain, terutama Hadi Awang sendiri tidak pernah berkata apa-apa mengenainya?


Adakah Tuan Ibrahim sudah tak sabar ingin jadi menteri semula? – ShahbudinHusin 19/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/10/19/ghairah-benar-nampaknya-tuan-ibrahim-nak-jadi-kerajaan-semula.html



No comments: