ABDULLAH SANI, PEMIMPIN YANG TINGGI KOMITMENNYA KEPADA PARTI



Dalam sekian banyak lantikan menerajui agensi kerajaan dan GLC setakat ini, meskipun banyak lagi belum diisi, peratusan memberi jawatan kepada orang politik di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim bolehlah dikata agak membanggakan.


Sebagai perbandingan, sekitar 75 atau 80 peratus daripada lantikan yang dibuat adalah daripada kalangan pemimpin-pemimpin parti yang membentuk kerajaan perpaduan ketika ini, manakala selebihnya adalah daripada kalangan profesional, bekas pegawai kanan kerajaan yang bersara serta lain-lain kategori.


Keadaan ini menunjukkan Anwar terbukti lebih baik berbanding ketika PH mentadbir negara di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad dalam memperlihatkan keyakinan terhadap kemampuan orang-orang parti untuk menerajui agensi kerajaan serta GLC.


Melantik orang politik menerajui agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan atau GLC tentunya turut disertai dengan kelayakan, kemampuan serta komitmen yang mampu mereka berikan dan bukan semata-mata kerana mereka ada cop orang parti.


Sejak 2018 lagi, bagi mereka yang mengikuti tulisan saya, pasti sedar bahawa saya sentiasa berpendirian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan, kalau pun tidak boleh semua, sebahagian besarnya mesti diketuai oleh orang-orang politik selaku pengerusinya.


Ini kerana, sebagaimana negara dipimpin dan ditadbir oleh orang-orang politik melalui parti yang berjaya memenangi pilihan raya, agensi kerajaan dan GLC juga seharusnya diterajui daripada kelompok parti yang sama.


Hanya dengan demikian, barulah agensi atau GLC terbabit dapat bergerak seiring dengan aspirasi parti yang menerajui kerajaan.


Begitu pun, berdasarkan pemerhatian sendiri setakat ini, masih tidak menonjol peranan serta sumbangan orang parti yang dilantik menerajui agensi kerajaan dan GLC itu dalam memberi sumbangan balik melalui jawatan yang mereka perolehi.


Sepatutnya, melalui jawatan yang diperolehi itu, terutama ketika parti memerlukan bantuan yang pelbagai, ketika itulah mereka yang dilantik menerajui agensi dan kerajaan dan GLC itu harus memunculkan diri.


Sebab melalui parti yang berjaya menjadi kerajaan itulah mereka dapat menumpang rezeki beroleh jawatan.


Dalam hal ini, berdasarkan pemerhatian dengan mata dan telinga sendiri sejak PRN diadakan di enam negeri, disusuli PRK di Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai baru-baru ini, saya amat bangga dengan sumbangan yang dilakukan oleh Abdullah Sani selaku Pengerusi Tekun Nasional.


Di setiap pilihan raya yang diadakan itu, beliau tidak pernah terlepas daripada menghadirkan diri untuk membantu kerja-kerja kempen yang diadakan.


Beliau menyewa sendiri tempat kediaman sementara sepanjang tempoh keberadaannya bagi membantu kerja-kerja kempen itu.


Pada sebelah siang, beliau biasanya akan mengatur pelbagai program bersama Tekun untuk menghebahkan kemudahan serta bantuan perniagaan kepada rakyat yang memerlukan.


Ketika ini semua orang boleh hadir dan ia terbuka kepada sesiapa saja.


Pada sebelah malamnya pula, Abdullah Sani akan memakai baju parti dengan berkempen di pentas-pentas ceramah yang diatur pihak penganjur.


Dalam PRN lalu, Abdullah Sani sempat turun hampir ke semua enam negeri terbabit, manakala ketika PRK Pulai dan Pelangai baru-baru ini, beliau telah menyewa sebuah rumah selama seminggu di kedua-dua tempat tersebut.


Begitulah tingginya komitmen beliau yang tidak lain adalah didorong oleh kesedaran untuk membantu balik parti setelah memberinya jawatan sebagai Pengerusi Tekun.


Melihat komitmennya itu, hati kecil saya berkata, kalaulah semua pengerusi agensi kerajaan dan GLC serta mereka yang diberi jawatan berperanan sama sepertinya dalam usaha mendekatkan lagi hubungan parti dan kerajaan dengan masyarakat, pasti tiada masalah untuk calon kerajaan perpaduan menang dalam apa juga pilihan raya yang diadakan. – ShahbudonHusin 10/10/2023


https://shahbudindotcom.net/