LUPAKAH ISHAM JALIL UMNO SUDAH PUN BERTANDING SOLO PADA PRU15 LALU?


Sebagai rentetan tidak setuju dengan langkah UMNO ada hubungan kerjasama dengan DAP melalui PH, Ahli MT UMNO, Isham Jalil yang sebelum ini menjangkakan beliau akan dipecat dalam waktu terdekat ini, turut menyarankan agar parti itu bertanding secara solo dalam PRU akan datang.


Katanya, UMNO dan PH hanya boleh bekerjasama untuk membentuk kerajaan, tetapi tidak ketika bertanding dalam pilihan raya.


Isham yang merupakan bekas pegawai khas Najib Razak juga mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya menitahkan pembentukan kerajaan perpaduan dengan PH, bukan bergabung dalam pilihan raya.


Justeru itu, menurut beliau, terutama selepas keputusan buruk diterima UMNO pada PRN enam negeri baru-baru ini, parti itu perlu bertanding secara solo tanpa apa-apa kerjasama dengan PH dalam pilihan raya selepas ini.


Benarkah UMNO mampu memperolehi keputusan lebih baik jika bertanding secara solo?


Dalam hal ini, Isham agaknya lupa bahawa UMNO melalui BN telah pun bertanding secara solo pada PRU15, November 2022 lalu.


Namun, terbukti akhirnya melalui pertembungan tiga penjuru yang melibatkan PH dan PN, bertanding secara solo tidak mendatangkan hasil yang baik kepada BN.


30 kerusi yang dimenangi BN dan 26 daripadanya melalui UMNO adalah bukti bertanding solo bukanlah pilihan yang tepat untuk diulangi sekali lagi.


Apakah Isham mahu UMNO menerima nasib yang sama atau mungkin lebih kurang lagi kerusi yang mampu dimenangi pada PRU16 akan datang dengan bertanding secara solo sekali lagi?


Sementara UMNO sudah berada dalam kerajaan bersama PH, hubungan kerjasama dalam konteks parti sepatutnya turut dipereratkan sama.


UMNO pada hakikatnya tiada pilihan lain jika ingin kembali relevan dan dominan dalam politik negara ini, melainkan bersama dengan PH, walaupun ada DAP di dalamnya.


Selain hanya dengan bersama PH saja UMNO boleh bertanding semula di sebahagian besar dan tidak mustahil di semua kerusi majoriti Melayu yang biasa ditandingi sebelum i ini, bersama PH yang ada DAP di dalamnya juga adalah suatu kelebihan buat UMNO kerana ia memperlihatkan suatu bentuk kerjasama yang ikhlas di dalam kerajaan serta di luar kerajaan.


UMNO tidak harus bermusuh dari segi politik dengan DAP kerana kedua-dua parti itu tidak bertanding sesama sendiri, tetapi peranan masing-masing adalag saling melengkapi.


Momokan bahawa DAP merupakan ancaman kepada Melayu hanyalah mainan Pas dan Bersatu untuk melemahkan UMNO.


Sejak bersama dalam kerajaan perpaduan ini telah terbukti DAP langsung tidak memberi ancaman, malah akur dengan kedudukan agama Islam, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan lain-lain lagi sebagaimana sedia termaktub dalam Perlembagaan Negara.


Apa yang perlu dilakukan, dengan tempoh masa masih ada sekitar empat tahun lagi sebelum PRU16 akan datang ialah UMNO harus memperhebatkan lagi siri-siri penerangan untuk memberi kefahaman berkenaan bentuk kerjasama baru dengan PH itu, di samping memperkukuhkan lagi kedudukan parti..


Jika itu dapat dilakukan, di samping berjaya memperlihatkan hasil kesepakatam yang baik dengan PH yang ada DAP bersamanya dalam mengurus kerajaan, UMNO pasti akan diterima kembali oleh orang Melayu.


Selain UMNO harus berusaha meyakinkan orang Melayu bahawa DAP bukanlah ancaman, di waktu yang sama DAP juga mesti sentiasa menampilkan wajah yang tidak memberi kebimbangan kepada orang Melayu itu sendiri.


Harus juga disedari, Pas dan Bersatu bukanlah parti yang lebih baik berbanding UMNO daripada segi perjuangan untuk membela orang Melayu dan rakyat berbilang kaum di negara ini.


Kejayaan kedua-dua parti itu lebih banyak disumbangkan oleh mainan sentimen kaum dan agama yang seringkali dicampur dengan unsur fitnah, menghasut, adu domba serta sebaran maklumat tidak benar.


Untuk itu, UMNO tidak perlu gentar berdepan Pas dan Bersatu untuk meraih kembali sokongan pengundi Melayu.


Penerangan yang berterusan pasti akan berjaya memadam kepalsuan.


Semua benda dalam dunia ini mengalami perubahan dan untuk terus hidup, UMNO juga perlu berubah untuk menyesuaikan diri dengan zaman yang sentiasa berputar.


Berkawan dengan PH yang ada DAP di dalamnya adalah perubahan yang tidak dapat dielakkan oleh UMNO demi survival masa depannya, bukan saja dalam mengurus negara, tetapi juga bagi menghadapi pilihan raya lantaran berbanding PH, PN adalah musuh yang terang lagi nyata memang mahu “membunuh” mereka.


Maka itu, daripada Isham terus meroyan mahu UMNO bertanding solo kerana ketakutannya kepada bayang-bayang DAP itu, lebih baiklah beliau melangkah pergi dahulu sama ada menyertai Pas atau Bersatu. – ShahbudinHusin 13/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/#google_vignette



1 comment:

Anonymous said...

Malu alumuni Havard weh, bila dikaitkan YPDA pasal bertanding solo atau bertanding atas kerusi kerajaan perpaduan... sejak bila YDPA ada kaitan dengan soal nak bertanding macam mana... kalau aku malu weh