Lantikan Peguam Negara baharu: "Kenapa sekarang baru nak bising?"




 Oleh: Abdullah Zaid

Isu pelantikan Peguam Negara baharu yang dipertikaikan oleh pembangkang PN hari ini mendapat respons balas Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan.


Ahli Parlimen Lim Guan Eng (PH - Bagan) membidas dakwaan pembangkang kononnya isu pelantikan Peguam Negara baharu seperti sudah dirancang.


Menurut Lim, Ahli Parlimen Datuk Dr Radzi Jidin (PN - Putrajaya) tidak seharusnya mempersoalkan lantikan Peguam Negara kerana hakikatnya Kerajaan Perpaduan sebelum ini turut mengekalkan Peguam Negara yang dilantik kerajaan lepas dan tidak pula dikritik oleh sesiapa.


"Saya tidak faham mengapa YB Putrajaya (Radzi Jidin) bising, apabila Peguam Negara dilantik oleh kerajaan lepas dikekalkan juga Kerajaan Perpaduan.


"Janganlah kita ada double standard. Bila kita kekalkan lantikan yang dibuat kerajaan lama (PN), mengapa tidak bising. Hanya bising bila tidak berpihak kepada anda.


"Saya rasa janganlah berpolitik di sini, Tidak guna. Kerana ia tidak membawa kebaikan kepada negara," katanya di Dewan Rakyat sesi pagi.


Dalam pada itu, Lim yang juga Pengerusi DAP mahu pihak Peguam Negara memberi penjelasan lanjut di atas keputusan menggugur tuduhan 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Zahid Hamidi.


Katanya, penjelasan itu wajar bagi menyakinkan rakyat tentang keputusan yang dibuat Peguam Negara sekali gus dapat meredakan suara tidak puas hati banyak pihak terhadap isu berkenaan.