Kerajaan lulus 15 ribu pekerja asing penuhi tiga sektor perkhidmatan




 Oleh: Abdullah Zaid


Kerajaan bersetuju memenuhi permintaan tenaga kerja daripada tiga sektor perniagaan iaitu kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas dengan meluluskan sebahagian 15,000 pekerja asing untuk berkhidmat di negara ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan yang hanya sebahagian itu adalah untuk memberi peluang kepada kaum India negara ini, khususnya anak muda untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan .


Justeru, beliau meminta Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) bagi memastikan bekalan tenaga kerja untuk tiga sektor berkenaan dapat dipenuhi.


"Jadi kita bagi kelulusan kepada kedai gunting rambut, saya minta (Menteri Sumber Manusia) V Sivakumar beri sikit (pekerja asing) termasuk restoran. Tetapi saya tidak mahu bagi penuh sebab saya rasa perlu cari jalan (tenaga tempatan) melalui TVET atau modal TEKUN.


"Bagi mereka latihan, sebab sekarang orang muda bukan mahu gunting seperti dulu, sekarang kita bagi latihan melalui TVET kerana ia baik untuk (bekerja) di restoran, gunting rambut dan tekstil.


"Namun, oleh kerana keperluan segera untuk tiga kategori ini, kita luluskan tetapi tidak sepenuhnya dan saya minta dalam mesyuarat menteri pada Jumaat ini, menteri akan bawa kertas supaya kita luluskan sebahagian (permintaan) untuk tiga kategori itu.


"Tetapi syaratnya, kementerian akan pastikan latihan dan insentif untuk anak muda kita dilatih serta boleh bekerja," katanya yang juga Menteri Kewangan ketika berucap melancarkan program Lestari Niaga@Kuala Lumpur melalui penstriman langsung laman rasmi Facebook Suara Keadilan.


Selain itu, Anwar turut meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai penjaja dan kedai makan sekitar ibu kota bagi kaum India.


"Saya telah pastikan untuk kenaikan gerai-gerai termasuk kawasan peniaga India kita tambah peruntukan.


"Kalau peruntukan tidak cukup daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk tahun ini, kita tambah RM10 juta untuk tujuan itu di seluruh bandar raya," ujarnya lagi.

No comments: